Friday, December 14, 2018



TAJUK: SUMBER PENDAPATAN PENDUDUK ORANG ASLI POS TENAU                                     

Berikut saya kongsikan pengalaman saya berkunjung ke Kampung Orang Asli suku kaum Semai yang terletak di Pos Tenau Ulu Slim Perak. Sebelum saya menyentuh lebih lanjut tentang sumber pendapatan penduduk orang asli Pos Tenau, mari kita kenali dahulu siapakah orang asli?

            Mengikut tafsiran Akta 3 (1) mengenai masyarakat Orang Asli yang dinyatakan dalam undang-undang Negara Malaysia: Mana-mana orang yang bapanya adalah seorang dari rumpun bangsa Orang Asli yang bercakap dalam bahasa Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan Adat dan kepercayaan Orang Asli dan termasuklah seorang keturunan melalui lelaki itu; Mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa masih kanak-kanak oleh orang dan yang telah dididik sebagai seorang Orang Asli, lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat dan kepercayaan Orang Asli dan adalah seorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli; atau Anak dari apa-apa persatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki dari satu kaum lain dengan syarat bahawa anak itu lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli, cara hidup Orang Asli, adat dan kepercayaan Orang Asli dan masih lagi menjadi seorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli. Dari sudut pandangan umum pula, Orang Asli juga dikenal pasti sebagai masyarakat Aslian.

            Tujuan utama ekspedisi dan kajian lapangan ini ialah untuk mejalankan aktiviti sosial dari segi bantuan keperluan asas, pakaian dan makanan di samping memberi motivasi kepada kanak-kanak di Pos Tenau. Berbalik kepada punca sumber pendapatan Penduduk Orang Asli Pos Tenau, dapat disimpulkan bahawa punca sumber pendapatan penduduk dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertanian dan penternakan.
             Aktiviti pertanian dapat dilihat sepanjang jalan di Pos Tenau. Terdapat beberapa kawasan ladang pokok getah yang berskala kecil mahupun berskala besar. Selain itu, terdapat banyak juga pokok buah-buahan tempatan yang ditanam seperti pokok durian, pokok pisang, pokok rambutan dan pokok buah-buahan lain lagi. Pokok buah-buahan ini biasanya ditanam di kawasan lapang berhampiran dengan rumah penduduk dan ada juga yang menanamnya di kawasan kebun masing-masing. Setiap ruang berdekatan rumah penduduk digunakan sebaiknya dengan menanam pokok buah-buahan seperti pokok pisang dan rambutan. Keadaan tanih yang subur juga menjadi faktor terhadap aktiviti pertanian di kawasan Pos Tenau kerana tempat perkampungannya terletak di lembah gunung di samping keadaan cuaca yang sejuk dan segar. Selain itu, majoriti penduduk menanam pokok ubi kayu dengan skala yang lebih besar. Ini kerana ubi kayu merupakan makanan ruji bagi penduduk Pos Tenau.

            Seterusnya, Aktiviti penternakan juga kelihatan aktif di setiap kawsan perkampungan penduduk. Penternakan dilakukan dalam skala kecil di kawasan kediaman penduduk. Binatang ternak yang terdapat di Pos Tenau ialah kambing, ayam dan itik. Harga jualan binatang ternak ini juga lebih murah dibandingkan dengan kawasan lain. Penduduk biasanya membina reban ayam, itik dan kandang kambing dengan saiz kecil sahaja. Namun binatang tersebut diternak secara liar dan bebas. Anda akan dapat melihat pelbagai binatang ternak yang berkeliaran sepanjang jalan di kawasan perkampungan Pos Tenau.

            Keadaan nyaman dan tenang di kawasan Pos Tenau memberi kesegaran kepada setiap orang yang mengunjunginya. Tanih yang subur serta keadaan cuaca yang sangat baik membantu penghasilan pertanian penduduk yang lebih bermutu.


Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris di Pos Tenau






Aktiviti pertanian Penduduk Pos Tenau

  
Aktiviti penternakan Penduduk Pos Tenau

Pemandangan kawasan Pos Tenau


Disediakan oleh:

NAMA:                       MOHAMAD HAFEZ BIN HAMZAH
NO. MATRIK:           D20162076381
KURSUS:                   HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK

No comments:

Post a Comment