Thursday, December 6, 2018

LITERASI MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU


NAMA: AMINA PANG
NO.MATRIK: D20171078791
SEMESTER : 3
PROGRAM : ISMP GEOGRAFI

Kajian Pendidikan Orang Asli di Malaysia: Literasi Sebagai Dayung Perubahan Masyarakat Orang Asli di Pos Tenau


PERMULAAN PENGEMBARAAN🌹

Perjalanan kami ke perkampungan Orang Asli di Pos Tenau, Slim River, Perak bermula pada waktu pagi dan mengambil masa hampir dua jam dari Tanjong Malim. Pada awal perjalanan, jalan didapati berbatu-batu namun apabila hampir tiba di Pos Tenau, jalan mula bertukar ke jalan tar. Setiba di Pos Tenau, kami dapat menikmati suasana pemandangan yang luar biasa di kaki bukit, keadaan yang tenteram, dingin dan udara nyaman di persekitaran yang dikelilingi dengan gugusan bukit-bukau yang cantik menghijau. Keadaan suhu adalah dalam lingkungan 16-24 dan kawasan tersebut amat menakjubkan dan memberikan ketenangan kepada minda setetika. Anggaran bagi jumlah penduduk di Pos Tenau adalah sebanyak 980 orang. Terdapat sebuah pusat pendidikan yang ditubuhkan khusus untuk anak-anak Orang Asli Pos Tenau dan sekolah tersebut ialah SK Pos Tenau dan jumlah pelajar Tahun Satu hingga Tahun Enam adalah sebanyak 39 orang.


  


Siapakah Masyarakat Orang Asli?


Ciri-ciri Orang Asli iaitu rambut kerinting halus, kulit hitam manis dan berwajah bulat lebar menjadi satu tarikan untuk ingin mengenali mereka dengan lebih rapat. Golongan masyarakat Orang Asli merupakan golongan minoriti yang mempunyai keunikan mereka yang tersendiri terutama dari aspek budaya, adat resam, pantang larang dan juga hubungan sosial. Orang Asli merupakan antara golongan masyarakat yang masih kuat mengekalkan identiti mereka dan masih mengamalkan corak hidup secara tradisional. Hal ini menyebabkan masyarakat Orang Asli sering kali dianggap sebagai golongan yang terpinggir dan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan masyarakat bandar seperti Kuala Lumpur. Bahasa Semai merupakan Bahasa utama mereka. Mereka tinggal di kawasan pedalaman dan dikelilingi oleh hutan. Akibat kedudukan geografi perkampungan mereka yang jauh iaitu di kawasan pedalaman telah menyebabkan masayarakat Orang Asli terasing dari kemajuan dunia luar dan mereka kurang menikmati kemajuan kemudahan dan perkhidmatan termasuk dalam bidang pendidikan.


                Berdasarkan pemerhatian dan temu bual yang dijalankan, kebanyakan penduduk Orang Asli di Pos Tenau bekerja sebagai penoreh getah sahaja. Aktiviti pertanian juga dijalankan bagi menyara kehidupan yang serba kekurangan. Sepanjang berada di kawasan tersebut, pengkaji dapat mengamati antara salah satu sifat yang ada dalam segelintir masyarakat Orang Asli iaitu sifat malu yang terlalu tinggi terutama apabila berhadapan dengan orang asing. Anak-anak Orang Asli kebanyakannya mempunyai masalah keyakinan diri dan kadang-kadang mereka merasa begitu rendah diri. Di peringkat sekolah, tidak semua pelajar dapat mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Pendidikan muzik, kokurikulum dan sukan adalah amat penting untuk menarik minat mereka agar mereka rajin untuk hadir ke sekolah. Bakat murid Orang Asli perlulah diasah kerana mereka telah menunjukkan bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang mungkin tiada dalam diri murid yang berada di kawasan bandar. 



Kemahiran Literasi Sebagai Indikator Kesejahteraan Orang Asli

Taraf pendidikan masih rendah di kebanyakan kawasan pedalaman termasuk di Pos Tenau. Ini dapat diperhatikan kebanyakan responden masih buta huruf. Sebenarnya kemajuan mahupun kemunduran sistem pendidikan sekolah terutama di kawasan pedalaman seperti Pos Tenau ini adalah bergantung kepada cara hidup masyarakat itu sendiri. Tidak dapat dinafikan bahawa kadar keciciran pelajaran dalam kalangan mereka masih berada dalam tahap tinggi dan hal ini amat membimbangkan. Bagi menjadi seorang guru di kawasan pedalaman memerlukan sifat yang cekal, tabah mengharungi cabaran dari segi fizikal dan mental kerana mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah.

                 Orang Asli dibelenggu dengan kemiskinan telah mendorong berlakunya keciciran dalam pelajaran dan pencapaian literasi dalam kalangan Orang Asli masih berada di tahap yang rendah. Antara masalah yang berlaku dalam kalangan mereka khususnya bidang pendidikan ialah kesulitan masayarakat Asli di Pos Tenau dalam penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Menurut temu bual bersama beberapa responden, kebanyakan daripada ibu bapa mereka tidak mempunyai pendidikan bahkan sekolah rendah. Namun, mereka masih mampu membawa anak mereka ke sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pos Tenau sehingga Darjah Enam sahaja. Hal ini menjadi satu kebimbangan di mana ramai golongan remaja tidak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah dan hal ini telah menyumbang kepada masalah keciciran pelajaran dalam kalangan Orang Asli.


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KADAR LITERASI DALAM KALANGAN ORANG ASLI DI POS TENAU


KECICIRAN DALAM PENDIDIKAN
Dalam dunia masa kini, terdapat masih ramai penduduk terutama yang menetap di luar bandar atau pedalaman yang mengalami buta huruf. Hal ini adalah disebabkan oleh kekurangan sekolah di kawasan yang terpencil, yuran persekolahan yang mahal serta sikap sesetengah  ibu bapa yang tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk meneruskan persekolahan. Keadaan ini dapat diperhatikan melalui sesi temu bual bersama seorang remaja yang berumur 14 tahun, responden tersebut menyatakan bahawa sudah tidak meneruskan persekolahan semasa telah menamatkan persekolahan di peringkat sekolah rendah. Hal ini bukan sahaja atas faktor kewangan tetapi juga sikap ibu bapa yang lebih mementingkan tenaga anak-anak mereka untuk menolong ibu bapa berkebun di ladang dan lain-lain. Keadaan ini telah mendorong anak-anak mereka tidak dihantar ke sekolah dan menyebabkan mereka keciciran dalam pelajaran. Selain itu, keciciran ini juga boleh dapat dikaitkan dengan pemakanan yang kurang berkhasiat.

PERKAHWINAN USIA MUDA MERUPAKAN ANTARA FAKTOR BERLAKUNYA KECICIRAN DALAM PENDIDIKAN DALAM KALANGAN ORANG ASLI DI POS TENAU
Kebanyakan daripada golongan ibu bapa mengalami masalah buta huruf yang tinggi. Hal ini adalah disebabkan oleh faktor kemiskinan yang menjadi penghalang untuk mereka ke sekolah. Bukan itu sahaja, akibat daripada perkahwinan di usia muda menyebabkan masyarakat Orang Asli tidak mementingkan pendidikan kerana ingin mencari pendapatan untuk menyara kehidupan ditambah pula dengan bilangan anak yang ramai. Golongan wanita memberi perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak mereka dan hal ini menyebabkan mereka menjadi kurang minat dalam bidang pendidikan seterusnya membawa kepada kadar literasi yang rendah dalam kalangan Orang Asli. Sikap ibu bapa yang mempunyai masalah literasi turut memberi kesan kepada anak-anak mereka agar tidak berminat dalam bidang pendidikan dan mereka lebih memilih untuk membantu ibu bapa mereka berkebun, menoreh getah dan menjalankan aktiviti pertanian agar dapat menambah pendapatan keluarga.

MASALAH KEMISKINAN
Tahap literasi yang masih rendah dalam kalangan masyarakat Orang Asli juga berpunca daripada masalah kemiskinan. Kesan faktor kemiskinan ini menyebabkan Orang Asli tidak mampu menanggung kos pendidikan anak-anak mereka. Sumber pendapatan yang diperoleh hanya cukup untuk menyara hidup mereka seharian. Pendapatan ibu bapa yang tidak cukup menjadi penghalang ibu bapa untuk menyediakan keperluan dan kemudahan pendidikan kepada anak-anak mereka. Hal ini telah menyumbang kepada berlakunya masalah buta huruf dan keciciran dalam pendidikan. Secara asasnya, sumber pendapatan yang diperoleh oleh ibu bapa mereka tidak tetap dan hanya mampu menyara keperluan asas seperti makanan dan minuman sahaja. Masyarakat Orang Asli yang kurang berkemampuan ini telah menyebabkan golongan kanak-kanak dibelenggungi dengan masalah buta huruf. Di samping itu, kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi bebanan kepada mereka seterusnya tidak mampu memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka.



KEKURANGAN KEMUDAHAN DAN INFRASTRUKTUR

Di kawasan perkampungan Pos Tenau merupakan kawasan yang terletak jauh di dalam pedalaman menyebabkan kawasan tersebut agak mundur dan masih belum dapat dibangunkan seperti di kawasan bandar. Masih banyak pembangunan yang perlu dilaksanakan termasuk dalam bidang pendidikan. Faktor kekurangan kemudahan perkhidmatan secara tidak langsung menyumbang kepada masalah buta huruf dan literasi berada d tahap yang rendah dalam kalangan Orang Asli. Kekurangan pembinaan sekolah atau pusat ilmu yang berdekatan di perkampungan telah mengehadkan sistem pendidikan dalam kalangan Orang Asli. Bukan itu sahaja, faktor kurangnya pendedahan ICT seperti tiada rangkaian Internet, komputer, penggunaan jalur lebar menyebabkan trend pendidikan masyarakat Orang Asli masih rendah berbanding dengan murid-murid yang bersekolah di kawasan bandar di mana sejak peringkat sekolah rendah lagi, mereka telah didedahkan dengan penggunaan ICT.Pendidikan Abad ke-21  yang berteraskan penggunaan tekonologi komunikasi berserta gajet yang diaplikasikan dalam pembelajaran di bilik darjah masih tidak dapat dinikmati oleh murid di kawasan pedalaman.

Penyediaan pendidikan yang memenuhi keperluan Orang Asli merupakan satu cabaran yang agak berat kerana berbeza dengan arus murid di kawasan bandar. Pendidikan dalam kalangan Orang Asli masih perlu ditingkatkan dan tidak seharusnya dipinggirkan. Di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau,  didapati bilangan guru didapati masih kurang kerana tidak semua guru di negara ini berani untuk mengambil risiko untuk mengajar di kawasan yang serba kekurangan dari segi kemudahan dan perkhidmatan. Hanya guru yang ikhlas, berani, cekal dan mempunyai daya tahan yang tinggi dari segi fizikal dan mental  sahaja yang mampu mengharungi segala cabaran demi membina masa hadapan yang cerah khususnya golongan murid yang tinggal di kawasan pedalaman.

Secara kesimpulannya, penguasaan terhadap literasi dalam kalangan murid-murid di seluruh Malaysia termasuk murid-murid yang menetap di kawasan pedalaman amat penting agar dapat melahirkan murid-murid yang celik huruf. Keciciran dalam pelajaran dalam kalangan orang Asli menunjukkan tren yang menurun. Hal ini kerana kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan kanak-kanak di negara ini termasuk golongan yang tinggal di pedalaman agar dapat memasuki alam persekolahan dan berpeluang  menikmati pendidikan awal. Namun begitu, masih banyak perlu ditambahbaik  dengan cara pihak kerajaan seharusnya meningkatkan lagi dalam menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan dan pihak berwajib terhadap masyarakat Orang Asli seharusnya lebih telus dan cekap agar kebajikan dan hak bagi golongan ini terpelihara. Akhir kalam, semua pihak perlulah berganding bahu dan menggembleng usaha dalam  meningkatkan pembangunan pendidikan khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan. 
"Literasi adalah nafas dalam pendidikan."

Akhir Kalam...

Terima Kasih Daun Keladi,

Dituju buat anda sekalian,

Selesai sudah coretan ini,

Salah Silap Harap Dimaafkan.


No comments:

Post a Comment