Friday, December 7, 2018

NAMA SUKU KAUM ORANG ASLI YANG TERDAPAT DI POS TENAU



NAMA SUKU KAUM ORANG ASLI YANG TERDAPAT DI POS TENAU

CATATAN 17 & 18 NOVEMBER 2018 KE POS TENAU💚

Pos Tenau merupakan sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Ulu Slim, Perak. Pos Tenau merupakan salah satu dari beberapa kampung Orang Asli Suku Semai dan perkampungan orang asli yang terdekat dengan Pos Tenau ialah Pos Bersih. Keadaan jalan yang berbukit bukau dan berliku-liku amat mencabar kekuatan fizikal bagi yang mengalami masalah mabuk kenderaan, tambahan pula Pos Tenau berada di kawasan paling atas dan paling hujung. Keadaan jalan ke Pos Tenau pula ada yang berturap dan ada yang tidak berturap serta terdapat juga jalan yang tidak rata menyebabkan kenderaan bergoyang-goyang apabila melalui jalan tersebut.

 Pengalaman berada di sana selama 2 hari banyak memberi kenangan kerana dapat melihat dan merasai dunia sebenar kehidupan orang asli di Pos Tenau. S.K Pos Tenau merupakan tempat untuk bermalam (1 malam) di mana khemah didirikan di dalam kawasan sekolah tersebut (dengan persetujuan pihak sekolah). Keadaan cuaca yang sejuk dan segar “fresh air” secara semulajadi dengan dikelilingi tumbuh-tumbuhan yang kehijauan sudah pasti dapat menenangkan fikiran. Tambahan pula, tiada rangkaian internet yang dapat diakses melainkan di S.K Pos Tenau dan talian telefon seperti Maxis, Celcom, U-Mobile dan Digi juga tiada. Ini menyebabkan kesukaran untuk berhubung dengan individu atau pihak yang berada di kawasan lain kerana tiada liputan sama sekali.


Jenis-jenis suku kaum orang asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia terbahagi kepada tiga iaitu kaum Negrito, kaum Senoi dan Kaum Melayu Proto. Kaum Negrito terbahagi kepada 6 suku iaitu Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Kaum Senoi juga terbahagi kepada 6 suku kaum iaitu Che Wong, Mahmeri, Jahut, Semoq Beri, Semai dan Temiar. Kaum Melayu Proto turut terbahagi kepada 6 suku kaum iaitu Kuala, Kanaq, Seletar, Jakun, Semelai dan Temuan. 
Bercerita tentang suku kaum yang terdapat di Pos Tenau, masyarakat Pos Tenau hanya terdiri daripada suku kaum Semai. Masyarakat orang asli yang terdapat di Pos Tenau tiada yang beragama Islam. Suku kaum Semai merupakan salah satu daripada suku kaum atau bangsa Senoi. Mereka hidup bermasyarakat dalam sesebuah kampung yang mana kebiasaannya terdapat antara 60 hingga 300 orang penduduk. Masyarakat orang asli kaum Senoi mendiami lereng banjaran Titiwangsa iaitu di pedalaman Negeri Perak (Ulu Slim), Kelantan dan Pahang. Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada guru di S.K Pos Tenau, masyarakat orang asli di Pos Tenau iaitu suku kaum Semai tersebut hanya berjalan kaki meredah hutan untuk ke perkampungan suku kaum Semai yang turut terdapat di Pahang. Hal ini demikian kerana, Kampung Pos Tenau berada dekat dengan kawasan yang merupakan sempadan antara negeri Perak dengan negeri Pahang. 

          Masyarakat Pos Tenau diketuai oleh ketua adat yang dikenali sebagai Tok Batin. Tok Batin merupakan individu yang dilantik dari kalangan yang berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat. Menurut beberapa kajian, suku kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa yang meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat.


Masyarakat orang asli yang berbeza kaum atau bangsa tinggal secara berkelompok iaitu mereka mendirikan penempatan mengikut sesama kaum mereka. Oleh itu, tidak hairanlah hanya terdapat orang asli suku kaum Semai di Pos Tenau kerana mereka hidup secara berkelompok dalam kaum atau bangsa mereka. 

Penempatan setiap jenis suku kaum bagi masyarakat orang asli bertaburan di Semenanjung Malaysia terutama di kawasan hulu dan pedalaman. Misalnya, penempatan suku kaum Semai tertumpu di Perak dan penempatan suku kaum Jahai tertumpu di Hulu Kelantan. Selain itu, suku kaum Semai merupakan suku kaum orang asli yang mempunyai jumlah terbesar berbanding suku kaum orang asli yang lain. Kehidupan orang asli kini tidak lagi berpindah randah kerana telah mempunyai penempatan kekal kerana telah mendapat perhatian dan bantuan daripada pihak kerajaan. 


Kanak-kanak orang asli yang terdapat di Pos Tenau turut mendapat peluang pendidikan iaitu mereka bersekolah di sekolah rendah yang tidak jauh dari penempatan mereka iaitu di S.K Pos Tenau. Guru-guru yang terdapat di S.K Pos Tenau tidak melebihi 10 orang dan kesemuanya adalah guru lelaki. 

Kemudahan yang wujud di kampung ini amat asas yang mana mereka hanya menggunakan air sungai sebagai sumber air selain terdapat kemudahan solar di setiap rumah yang mana ia dipasang oleh kerajaan sebagai bekalan elektrik. Selain menggunakan tenaga solar sebagai bekalan elektrik, mereka turut disediakan ‘generator’ untuk menjana tenaga elektrik di kawasan penempatan orang asli di Pos Tenau. 

Berdasarkan corak penempatan yang dilihat di Pos Tenau, masyarakat orang asli di kawasan tersebut mempunyai dua buah rumah iaitu satu rumah batu ‘bersimen’ dan terdapat rumah kayu atau yang dibina daripada pelepah bersebelahan dengan rumah batu tersebut. Kelihatannya, orang asli yang lebih tua dan dewasa lebih gemar tinggal di dalam rumah yang dibina daripada pelepah atau kayu berbanding rumah batu. Suku kaum Semai juga mempunyai adat dan budaya tersendiri sama ada adat dalam perkahwinan, kelahiran dan sebagainya. Mereka juga mengamalkan kepercayaan yang tersendiri seperti terdapat upacara cuci lantai yang diadakan bagi wanita yang lepas bersalin bagi tujuan untuk membersihkan diri dan membuang sial.


Ladang getah yang terdapat di Pos Tenau yang mana ia merupakan sumber ekonomi bagi masyarakat Orang Asli di Pos Tenau selain memburu, menternak dan memungut hasil hutan seperti petai.

Sampai di sini sahaja coretan kisah dan pengalaman di perkampungan orang asli di Pos Tenau. Kalau ada sumur di ladang, bolehlah saya menumpang mandi, kalau ada umur yang panjang, bolehlah kita berjumpa lagi.. bye bye!


 
Disediakan oleh:
NAMA: 
SYARIFAH NAJWA AFRINA 
BINTI SYED ISMAIL
NO. MATRIK: 
D20161073471
KURSUS: 
HGM3033 GEOGRAFI              
PENDUDUK

1 comment:

  1. Salam.bolehkah guna motosikal besar ke pos Tenau ?

    ReplyDelete