Friday, December 14, 2018

SISTEM PENGANGKUTAN DAN PERHUBUNGAN MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU

Disediakan oleh: Noor Nazihah Binti Mohd Yusoff
No. Matrik: D20161073525
Kursus: HGM3033 Geografi Penduduk

        Dalam erti kata yang sebenar, ‘Oang Asli’ bermaksud orang yang mula-mula menetap di sesuatu tempat dan dapat membuktikan sejarah petempatan awal di kawasan tersebut. Masyarakat orang asli di negara kita bukan sahaja terkenal dengan pelbagai keunikan khazanah warisan alam, seni, budaya tetapi juga memiliki kepelbagaian makanan tradisional. Oleh itu, antara tempat terbaik untuk melihat sendiri segala hasil warisan dan kepelbagaian yang dimiliki orang masyarakat orang asli ialah di Perkampungan Orang Asli Pos Tenau.

        Pos Tenau merupakan salah sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Ulu Slim, Perak. Untuk sampai ke Perkampungan Orang Asli Pos Tenau ini, terlebih dahulu kita akan menempuh Pos Bersih di mana Pos Bersih juga merupakan sebuah perkampungan orang asli yang terdapat di negeri Perak. Walaupun Pos Tenau terletak di pendalaman dan perlu melalui jalan yang bersimpang-siur dan berliku-liku untuk sampai disana, namun perkampungan tersebut menyajikan keindahan alam yang sangat menakjubkan dan mengagumkan di mana persekitaran kampung tersebut dikelilingi dengan gugusan bukit-bukau lalu membentuk Banjaran Titiwangsa. Tambahan pula, cuacanya yang dingin dan nyaman terutamanya pada waktu pagi selain terdapatnya sungai di mana kebersihan sungai tersebut masih terpelihara dengan baik daripada sebarang pencemaran.
     
Suasana persekitaran Perkampungan Orang Asli Pos Tenau yang dikelilingi dengan keindahan alam semulajadi yang sememangnya cukup mendamaikan jiwa

Keadaan sungai yang masih terperlihara dan bersih di mana ianya merupakan salah satu sungai yang menjadi tempat masyarakat orang asli Pos Tenau bermandi-manda


         Oleh itu, pengalaman sepanjang berada di Pos Tenau selama dua hari satu malam sememangnya amat menyeronokkan di mana ianya merupakan suatu pengalaman baharu kepada saya apabila dapat mengenali masyarakat orang asli dengan lebih dekat. Tambahan pula, banyak aktiviti yang dijalankan bersama-sama dengan anak-anak orang asli Pos Tenau di mana secara tidak langsung memberi peluang kepada saya untuk mengetahui mengenai kehidupan dan personaliti mereka dengan lebih mendalam. Melalui kajian lapangan ini, saya mendapati bahawa masyarakat orang asli di Pos Tenau sama ada golongan tua, muda ataupun kanak-kanak mempunyai sikap pemalu dalam dirinya apabila berhadapan dengan masyarakat luar ataupun individu asing. Namun, apabila meluangkan masa dan mengenali mereka dengan lebih dekat, masyarakat orang asli Pos Tenau sebenarnya merupakan satu masyarakat yang mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri. Misalnya, mereka sukakan muzik di mana mereka sentiasa menyanyi sambil menari apabila mempunyai masa lapang.


Dewan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau iaitu tempat yang digunakan oleh masyarakat orang asli Pos Tenau meluangkan masa lapang dengan menyanyi di mana dewan tersebut telah dilengkapi dengan kemudahan untuk berkaroake

Antara aktiviti sukaneka yang dijalankan bersama-sama dengan anak-anak orang asli Pos Tenau

Meninjau persekitaran Perkampungan Orang Asli Pos Tenau dan beramah-mesra dengan penduduknya

        Selain itu, sepanjang berada di perkampungan tersebut, saya juga berpeluang untuk mengetahui mengenai tahap sistem pengangkutan dan perhubungan masyarakat orang asli di Pos Tenau di mana sememangnya sistem pengangkutan dan perhubungan di perkampungan tersebut telah mengalami peningkatan dan jauh lebih baik berbanding dahulu. Hal ini demikian kerana perjalanan ke perkampungan tersebut sudahpun mempunyai kemudahan jalan raya yang berturap atau bertar berbanding dahulu di mana perjalanan untuk ke Pos Tenau perlu melalui tanah merah, tanah lembik, becak dan permukaan tanah yang tidak rata. Bahkan, masyarakat luar mahupun masyarakat orang asli sendiri terpaksa ‘bermandi’ lumpur tanah merah sepanjang meredah laluan berkenaan ketika tiadanya kemudahan jalan raya yang bertar. Oleh itu, kemudahan jalan raya yang bertar yang merupakan inisiatif daripada pihak kerajaan sememangnya memudahkan masyarakat orang asli berhubung dengan masyarakat luar selain daripada menghubungkan perkampungan tersebut dengan perkampungan lain.

Keadaan jalan raya untuk menuju ke Perkampungan Orang Asli Pos Tenau sebelum adanya jalan raya yang sudah bertar

Keadaan jalan raya di Perkampungan Orang Asli Pos Tenau pada masa kini

      Disebabkan terdapatnya kemudahan jalan raya yang bertar di Perkampungan Orang Asli Pos Tenau, maka secara tidak langsung masyarakat orang asli Pos Tenau mula mempunyai pengangkutan atau kenderaan sendiri seperti motor, kereta dan van bagi memudahkan urusan harian mereka. Namun begitu, tidak kesemua penduduk perkampungan tersebut mempunyai kenderaan sendiri.


Antara kenderaan atau pengangkutan yang dimiliki oleh sesetengah masyarakat orang asli Pos Tenau

   Manakala, tahap sistem perhubungan iaitu liputan internet dan akses telekomunikasi di perkampungan ini masih rendah.  Hal ini disebabkan penggunaan internet yang terhad di mana rangkaian internet hanya terdapat di makmal komputer Sekolah Kebangsaan Pos Tenau sahaja. Tambahan pula, mungkin juga disebabkan kedudukan Perkampungan Orang Asli Pos Tenau yang dikelilingi bukit-bukau menyebabkan kurangnya liputan internet dan akses telekomunikasi. Hal ini secara langsung menyukarkan urusan komunikasi masyarakat orang asli Pos Tenau dengan dunia luar terutamanya ketika menghadapi kecemasan. Namun, ketika berada di sana, ianya telah memberikan satu keadaan atau pengalaman baru kepada kami apabila kami semua tidak asyik atau leka dengan telefon masing-masing kerana tiadanya rangkaian internet. Sebaliknya, bagi mengisi masa yang terluang kami telah meluangkan masa dengan melakukan aktiviti bersama-sama dengan anak-anak orang asli selain daripada menghayati keindahan alam semulajadi yang mengagumkan di mana keindahan tersebut tidak dapat dilihat di kawasan bandar. Oleh itu, secara keseluruhannya pengalaman selama berada di Perkampungan Orang Asli Pos Tenau sememangnya menarik dan menyeronokkan. Malahan, pengalaman tersebut akan menjadi kenangan yang terindah kerana pengalaman tersebut bukannya dapat dirasai selalu. Jadi, buat anda yang inginkan ketenangan, jauh dari bandar dan ingin dekatkan diri dengan alam, destinasi Perkampungan Orang Asli Pos Tenau adalah tempatnya.


Pelajar-pelajar Geografi Penduduk



No comments:

Post a Comment