Tuesday, December 11, 2018

AKTIVITI HARIAN MASYARAKAT POS TENAU




Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, melalui laman ini saya dapat berkongsi pengalaman saya di perkampungan kecil masyarakat orang asli yang dikenali sebagai Pos Tenau. Saya dan rakan sekelas dalam kursus Geografi Penduduk telah melaksanakan kajian lapangan di Pos Tenau selama dua hari satu malam. Sepanjang berada di sana, kami disambut dan dilayan dengan baik daripada pihak Sekolah Kebangsaan Pos Tenau.





Kami diberi peluang bermalam dan melaksanakan pelbagai aktiviti bersama anak-anak orang asli di sekolah ini. Pada mula kami mendirikan khemah untuk berteduh. Namun keadaan cuaca yang tidak berapa baik telah menyebabkan khemah-khemah kami tidak dapat berdiri dengan kukuh lagi. Dengan itu, kami dibenarkan menggunakan perpustakaan sebagai tempat bermalam bagi pelajar perempuan manakala pelajar lelaki ditempatkan di kuarters guru. 






Pengalaman selama dua hari satu malam telah dapat saya mengetahui serba sedikit kehidupan masyarakat orang asli Pos Tenau. Pada hari kedua saya dan rakan-rakan telah berkunjung dari rumah ke rumah masyarakat orang asli di sini untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan tugasan masing-masing. Bagi menyempurnakan tugasan yang diberikan, saya telah memilih untuk mengkaji aktiviti harian masyarakat orang asli Pos Tenau.



Melalui kajian yang dibuat, saya mendapati bahawa masyarakat di sini mengamalkan ekonomi tradisional seperti mengutip hasil hutan dan menoreh getah yang merupakan pekerjaan utama bagi mereka. Oleh itu, pada setiap pagi kaum lelaki akan bersiap sedia untuk bekerja. Mereka sangat kuat bekerja dan saya berasa kagum dengan keberanian mereka meneroka hutan berseorangan mahupun berkumpulan. Selain itu, terdapat juga yang menternak kambing untuk menjana pendapatan mereka. Ada di antara mereka yang membina sendiri kandang kambing bersebelahan dengan rumah mereka. Kebiasaannya, mereka bekerja sehingga petang.






Sementara kaum lelaki bekerja pada siang hari, kaum wanita pula lebih banyak menghabiskan waktu di rumah. Mereka hanya menguruskan rumah tangga iaitu dengan menjaga anak, mengemas rumah, memasak dan sebagainya. Terdapat juga kaum wanita yang membantu suami mereka dalam mengusahakan binatang ternakan iaitu kambing ternakan.







Bagi anak-anak masyarakat orang asli Pos Tenau, sudah semestinya mereka mendapatkan pendidikan awal di SK Pos Tenau. Di sekolah tersebut telah menerima seramai 36 orang murid. Di sekolah ini mereka dapat menimba ilmu secara formal serta dapat mengembangkan lagi potensi diri dalam pelbagai kemahiran. Mereka sangat berkebolehan dalam bidang seni persembahan. Hal ini saya dapat lihat semasa malam kebudayaan, di mana anak-anak orang asli ini melakukan persembahan yang sangat memukaukan. Meraka menari dan menyanyi dengan begitu berkeyakinan sekali tanpa rasa malu atau segan apabila berada di atas pentas.





Pada sebelah petang, masyarakat orang asli Pos Tenau gemar beriadah. Di sini ada terdapatnya gelanggang takraw yang menjadi tempat bagi remaja lelaki meluangkan masa bermain bersama. Selain itu, terdapat juga yang bermandi-manda di sungai yang berhampiran.





Sehubungan dengan itu, saya dapat menyimpulkan bahawa kehidupan masyarakat orang asli Pos Tenau berbeza dengan kehidupan kita yang berada jauh dari kawasan pedalaman.  Sampai di sini sahaja coretan saya mengenai kehidupan masyarakat orang asli di Pos Tenau. Pelbagai saya pelajari daripada mereka semua. Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Kamarul selaku pensyarah Geografi Penduduk yang telah mencadangkan kepada kami untuk melakukan kajian lapangan di Pos Tenau. Tidak ketinggalan juga kepada rakan sekalas yang banyak membantu dalam menjayakan kajian ini. Kenangan yang tercipta bersama tidak dapat saya lupakan.







NABILAH BINTI KADRI
D20171078768
ISMP GEOGRAFI
UPSI


No comments:

Post a Comment