Disediakan
oleh: Hasmida binti Aziz
No Matrik: D20161073509
Kursus: Geografi
Penduduk (HGM 3033)
Pelajar Geografi Penduduk
Assalamualaikum
w.b.t, Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi ke atas kurniaNya, melalui laman
ini secara tidak langsung dapat saya jadikan sebagai medium perkongsian
mengenai pengalaman saya semasa berada di perkampungan orang asli di Pos Tenau.
Pertama sekali ingin saya jelaskan, ‘orang asli’ ini merupakan masyarakat
pribumi yang mempunyai susur galur hubungan dengan zaman Mesolitik dan
Paleolitik. Merekalah yang mempunyai status penduduk terawal dan telah
mencorakkan negara kita. Orang asli di Pos Tenau ini terdiri daripada suku kaum
Semai yang berasal dari kelompok Senoi. Kaum Semai ini terbentuk daripada suku
Hoabinhnian dan Neolitik dan mereka tinggal bertaburan di kawasan Banjaran
Titiwangsa yang meliputi Perak Tengah, Perat Selatan, dan Pahang Barat.
Pos
Tenau ini merupakan salah sebuah perkampungan kecil orang asli yang terletak di
Ulu Slim, Perak di mana ianya merupakan sebuah kawasan pedalaman. Sebelum
sampai di sini, terlebih dahulu kita perlu menempuh dan melalui jalan yang
bersimpang-siur dan berliku-liku. Walau bagaimanapun ianya bukanlah satu
halangan untuk kami semua sampai ke destinasi yang diituju kerana ini dapat
dicoretkan sebagai pengalaman bermakna yang selama ini tidak pernah dialami. 17
November 2018 dan 18 November 2018 merupakan tarikh yang paling bermakna bagi
diri ini kerana berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sebuah tempat yang tanpa
disedari memiliki keindahan alam yang begitu menakjubkan di mana persekitaran
perkampungan tersebut dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan yang mekar menghijau
dan gugusan bukit-bukau yang membentuk Banjaran Titiwangsa dan desiran air
sungai yang bersih. Tambahan pula, cuacanya yang dingin dan nyaman di waktu
pagi serta hembusan angin lembut yang meniup telah membina satu ketenangan
dalam diri ini.
Pengalaman
berada di Pos Tenau selama dua hari satu malam merupakan memori yang paling
terindah di mana ianya merupakan suatu pengalaman baharu apabila dapat
mengenali masyarakat orang asli dengan lebih dekat. Masyarakat orang asli ini
mempunyai perwatakan yang tersendiri di mana mereka sangat pemalu orangnya apabila
bertemu dengan orang luar. Sebaik sahaja mereka melihat kelibat kami, pasti
sahaja mereka berlari masuk ke dalam rumah bagi menyembunyikan diri. Ini
mungkin disebabkan faktor persekitaran mereka yang tidak pernah terdedah dengan
orang luar membuatkan keyakinan diri mereka untuk bergaul sangat rendah.
Melihatkan keadaan ini secara tidak langsung telah menarik perhatian saya untuk
membuat penulisan mengenai sifat dan personaliti masyarakat orang asli
khususnya kanak-kanak orang asli di Pos Tenau.
Seperti yang dikatakan, masyarakat orang
asli ini mempunyai sifat pemalu yang sangat tinggi dalam diri mereka
termasuklah kanak-kanak. Pertama kali bertemu dan bertentang mata dengan
mereka, mereka terlalu malu untuk berhadapan dengan orang luar. Berdasarkan
pemerhatian saya selama berada di sana, didapati kanak-kanak orang asli sangat
susah untuk didekati dan dihampiri disebabkan oleh perasaan malu mereka.
Apabila cuba untuk mendekati diri mereka, sesetengah daripada mereka pasti
berlari meluru masuk ke dalam rumah atau menyorok di mana-mana bahagian
berdekatan kawasan rumahnya bagi menyembunyikan diri. Namun begitu, setelah
puas dipujuk, dipanggil, dan cuba berinteraksi dengan mereka dengan layanan
baik barulah mereka cuba untuk menyesuaikan diri bergaul serta berkomunikasi
dengan kami. Walaupun bahasa yang digunakan adalah berbeza, namun kami tetap
jua untuk cuba memahami apa yang disampaikan oleh mereka agar mereka tidak
terasa asing. Pendekatan ini juga merupakan salah satu langkah untuk menipiskan
perasaan malu dalam diri mereka supaya mereka tidak teragak-agak untuk
berkomunikasi dengan kami. Namun begitu, sifat malu mereka ini hanya sementara
sahaja kerana setelah bergaul dan berkomunikasi dengan mereka secara lebih
dekat, perasaan malu dalam diri mereka itu semakin lama semakin menghilang
kerana mereka juga telah mengenali diri kami dengan baik. Pada permulaannya
memang agak susah untuk menghampiri mereka tetapi setelah diusahakan dengan
pelbagai cara, akhirnya berjaya. Berdasarkan pemerhatian saya, faktor
terbentuknya perasaan malu dalam diri kanak-kanak orang asli ini adalah
disebabkan kurangnya pendedahan dengan dunia luar. Mereka lebih berfokuskan
kepada tempat dan persekitaran mereka semata-mata. Mereka hanya dikelilingi dengan
masyarakat mereka sahaja. Disebabkan inilah setiap kali mereka melihat orang
luar datang, mereka akan terus melarikan diri ke dalam rumah kerana malu untuk
berdepan walaupun hakikatnya mereka sebenarnya mempunyai rasa ingin tahu yang
tinggi dalam diri mengenai kedatangan kita ke sana.
Kelihatan kanak-kanak orang asli malu
untuk berkomunikasi
Setelah mengenali diri mereka dengan lebih
dekat, terserlah kegembiraannya dan hilang malunya
Di
samping itu, kanak-kanak orang asli ini juga terlihat sangat hiperaktif di mana
mereka tidak boleh duduk diam di dalam waktu yang lama dan suka bergerak serta
suka bermain-main. Melihatkan kepada diri mereka ini, memang terbukti bahawa
mereka tidak boleh berdiam diri, ada sahaja perkara yang akan dilakukan oleh
mereka. Melompat, berlari, menjerit, dan menyanyi adalah perkara biasa yang
kami lihat semasa meluangkan masa dengan mereka. Ini mungkin disebabkan mereka
mudah merasa bosan terhadap satu perkara yang dilakukan. Disebabkan inilah kami
telah menyediakan pelbagai aktiviti yang berbentuk permainan yang memerlukan
pergerakan yang banyak bagi menarik perhatian mereka menyertainya dan
melibatkan diri. Semasa berlangsungnya aktiviti, kanak-kanak orang asli ini
kelihatan begitu seronok, gembira dan sangat aktif. Tiada seorang pun daripada
mereka yang tidak melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Ini
secara tidak langsung telah menggambarkan sifat mereka yang sangat hiperaktif.
Dengan melihatkan keadaan ini, anggapan saya yang mengatakan bahawa kanak-kanak
orang asli ini adalah pasif akhirnya terus menghilang pergi. Selama ini saya
beranggapan bahawa mereka adalah seorang yang pasif kerana tidak terdedah
dengan orang luar dan hanya akan berdiam diri apabila disuruh tetapi ternyata
anggapan saya selama ini adalah salah dan disangkal sama sekali.
Aktiviti ketika bermain
belon air
Aktiviti ketika mencari
gula-gula dalam tepung
Seterusnya, kanak-kanak orang asli ini juga
apabila dilihat mereka lebih sukakan kepada hiburan dan keseronokan. Mengikut
maklumat yang didapati oleh guru sekolah mereka, kanak-kanak orang asli amat
tertarik kepada muzik dan nyanyian. Ini tidak dapat dinafikan kerana sewaktu
kami melakukan aktiviti yang berbentuk nyanyian mereka begitu seronok dan
menghiburkan. Setiap daripada mereka mempersembahkan tarian mengikut alunan
muzik yang dipasangkan. Kesemua lagu yang dipasangkan mereka dapat ikuti rentak
dan lirik lagu tersebut dengan baik. Disini dapat dinyatakan bahawa mereka ini
sememangnya sukakan muzik sehinggakan kesemua lagu yang dimainkan telah mereka
hafal liriknya dan rentaknya.
Aktiviti tarian dan
menyanyi
Itulah sedikit sebanyak yang dapat
saya kongsikan mengenai sifat dan personaliti kanak-kanak orang asli di Pos
Tenau. Selama berada di perkampungan ini, saya lihat mereka merupakan
kanak-kanak yang cukup riang dengan kehidupan yang dijalani. Tiada sebarang
keluhan yang keluar dari bibir mereka mengatakan kekurangan yang dihadapi.
Seolah-olah memberikan peringatan pada diri ini untuk sentiasa bersyukur dengan
apa yang dimiliki. Akhir kata, semoga pengalaman ini sentiasa terpahat di hati
dan semoga bersua kembali di lain waktu dan hari.
Keriangan kanak-kanak
orang asli
Kami pulang dahulu,
semoga bertemu kembali
Penutup bicara
Pelajar Geografi Penduduk
No comments:
Post a Comment