Friday, December 14, 2018

KEINDAHAN DAN KEUNIKAN POS TENAU


Setiap tempat memiliki keindahan, keistimewaan dan keunikan tersendiri. Perbezaan ini membuatkan sesuatu tempat tersebut memiliki daya tarikan masing-masing dan dapat menarik pelancong untuk datang melawat ke sana. Keindahan yang dimiliki tidak perlu sesuatu yang mahal tetapi ia sangat berharga kepada sesiapa sahaja melawat. Pengalaman yang mereka peroleh cukup mahal untuk disimpan dan dikenang. 

                                                                                                                                   
     Pos Tenau merupakan salah satu tempat yang mempunyai keindahan alam sekitar yang cukup
indah dan unik. Bentuk muka bumi yang berada di kawasan bukit dan dikelilingi tumbuhan hijau membuatkan pencinta alam ingin tinggal di sini. Sebelum sampai ke kawasan Pos Tenau, pelawat dapat melihat keindahan air terjun yang cantik dan tinggi di sisi jalan. Kedudukannya yang terletak di tepi jalan memudahkan kita sebagai pelawat untuk melihat keunikan air terjun tersebut. Ini kerana, air terjun yang hanya mengalir dari atas bukit dengan aliran kecil tetapi mampu menarik perhatian pelawat-pelawat yang datang. Airnya yang sejuk boleh menyegarkan diri sesiapa sahaja yang menyentuh air tersebut.







     Sebelum tiba ke kawasan Pos Tenau juga, pelawat dapat melihat kawasan bukit-bukau dan pelbagai tumbuhan hijau sepanjang perjalanan. Udara yang segar dan nyaman dapat memberi pengalaman yang berbeza kepada pelawat kerana semakin hampir pelawat ke kawasan Pos Tenau, suhu semakin sejuk kerana tumbuhan semakin banyak dan kawasan tersebut semakin tinggi.



     Tiba sahaja di kawasan Pos Tenau banyak keindahan yang memukau pandangan pelawat, dari segi rumah penduduk, haiwan yang terdapat di sana dan beberapa keindahan dan keunikan yang lain. 


Terdapat beberapa jenis rumah yang ada di Pos Tenau, antaranya ialah rumah papan dan rumah batu. Rumah-rumah di sini juga unik kerana kita jarang dapat melihat rumah sebegini di luar. Ini juga salah satu keunikan di Pos Tenau. Saiz rumah penduduk di sini juga dalam keadaan sederhana dan boleh dihuni seramai 5 hingga 6 orang. 




     Kambing, anjing, itik dan kucing antara haiwan yang terdapat di sini. Kepelbagaian haiwan ini menceriakan kampung-kampung di Pos Tenau. Banyak bunyi haiwan dapat didengari selain kicauan burung. Haiwan di sini jinak dan dapat menerima kehadiran pelawat yang datang. Pelawat dapat mengambil kesempatan ini untuk bermain dengan kambing dan haiwan-haiwan yang lain. 




     Keindahan dan keunikan seterusnya yang terdapat di Pos Tenau ialah sungai. Aliran air sungai yang perlahan memudahkan penduduk kampung mandi, mencuci pakaian dan sebagainya di sini. Airnya yang sejuk dan jernih juga boleh menyegarkan tubuh badan bagi sesiapa sahaja yang membersihkan diri di sini. Pelawat sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk menyegarkan diri di sini. 



     Penduduk di Pos Tenau bersikap saling bekerjasama antara satu sama lain. Mereka saling membantu apabila sesama jiran dalam masalah. Semasa kami melawat ke salah sebuah kampung di Pos Tenau, sebuah rumah telah ditimpa dahan pokok akibat angin yang kuat pada hari sebelumnya. Penduduk sekeliling datang untuk sama-sama mengalihkan dahan pokok tersebut.  



     Dari kawasan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau, kita dapat melihat pemandangan bukit-bukau serta tumbuhan hijau yang indah. Sekolah dimana tempat kami bermalam juga dikelilingi pelbagai jenis tumbuhan, antaranya ialah pokok getah, pokok pisang dan lain-lain. Oleh itu, Pos Tenau mempunyai suhu yang lebih rendah berbanding kawasan lain.


     Lebih banyak keindahan serta keunikan yang terdapat di Pos Tenau. Ini membuatkan kami yang telah menjalankan kajian lapangan selama 2 hari 1 malam ingin ke sana lagi bagi membuat kajian tentang perkara lain dan datang melawat untuk menikmati keindahan alam tersebut. Tempat yang berbeza mempunyai bentuk muka bumi yang berbeza dan itulah menjadikan sesebuah tempat itu unik. Luaskan pemandangan dengan lebih banyak melawat ke pelbagai tempat. Ini dapat meluaskan pemikiran seseorang dan menambahkan ilmu pengetahuan.





Disediakan oleh
NORILYANI BINTI KHAIRUL ANUAR
D20161074558

No comments:

Post a Comment