Disediakan oleh: VELAZMI BINTI MAKIL
No. Matrik: D20161074348
Rajah 1:Kampung Pos Tenau
Pos Tenau merupakan sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Ulu Slim, Perak yang terdiri daripada suku Semai dan majoritinya beragama Kristian dengan jumlah penduduk seramai 600 orang. Pos Tenau merupakan salah sebuah penempatan orang asli yang masih belum mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap. Perkampungan ini belum mempunyai bekalan elektrik. Namun begitu, untuk keluarga yang berkemampuan, bekalan elektrik mereka diperoleh melalui generator. Bekalan air yang diperoleh pula hanya bergantung kepada air gravity (air dari atas bukit) untuk kegunaan seharian mereka. Walaupun masih banyak kekurangan di kampung tersebut, saya percaya bahawa suatu hari nanti, perkampungan ini akan berkembang kerana perkampungan Pos Tenau berada di bawah kelolaan JAKOA. Hal ini demikian kerana, menurut pemerhatian dan informasi tentang kampung ini, JAKOA sangat prihatin dengan masyarakat orang asli di sini. Buktinya, terdapat banyak rumah PPRT yang merupakan salah satu bentuk bantuan daripada JAKOA. Jalan ke Pos Tenau juga saya difahamkan sudah dinaik taraf pada tahun ini dimana jalan tersebut sudah bertar.
Rajah 2: Tanaman getah
Penduduk kampung di Pos Tenau mempunyai gaya hidup yang sederhana. Mereka melakukan aktiviti pertanian untuk menyara hidup mereka seperti menanam ubi kayu, jagung dan ubi manis. Ladang-ladang yang dibuka ini berada jauh dari rumah mereka. Perjalanan ke ladang boleh mengambil masa sehingga 1 jam. Menurut penduduk kampung juga, mereka akan ke ladang seawal jam 8 pagi dan pulang ke rumah pada waktu petang sekitar jam 5 petang. Selain daripada membuka ladang, mereka juga melakukan aktiviti menoreh getah sebagai sumber pendapatan mereka. Selain daripada aktiviti pertanian, mereka juga menternak binatang seperti kambing dan ayam. Binatang ternakan ini merupakan salah satu sumber protein mereka.
Rajah 3: Ternakan kambing dan ayam
Dari aspek sosial, penduduk kampung di Pos Tenau menerima kunjungan kami dengan baik walaupun mereka sedikit pemalu namun kami masih dapat berkomunikasi dengan penduduk kampung tersebut. Selama dua hari berada di Pos Tenau, saya melihat aktiviti sosial penduduk kampung tersebut sesama jiran mereka sangat baik. Adakalanya anak-anak muda perempuan saling memeriksa atau menyikat rambut sesama sendiri. Saya berpendapat bahawa tindakan mereka ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim mereka. Bagi anak-anak muda kususnya yang lelaki, mereka juga melakukan aktiviti kesukanan seperti bermain takraw pada waktu petang. Walaupun mereka tidak mempunyai gelanggang khas untuk takraw, mereka telah membuat gelanggang sendiri iaitu di tengah-tengah kawasan perumahan mereka. Kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi juga menjadikan cara bersosial di kawasan tersebut bergantung kepada aktiviti harian mereka seperti mencuci kain dan pinggan di tadahan air yang disediakan. Oleh itu, dalam keadaan ini, kekurangan kemudahan infrastruktur secara tidak langsung mengeratkan silaturahim sesama mereka kerana kerap berjumpa.
Rajah 4: Riadah di waktu petang
Rajah 5: Mencuci pinggan dan kain menggunakan air graviti
Rajah 6: Gelanggang Takraw
Pos Tenau merupakan sebuah perkampungan orang asli yang unik. Sesiapa yang berkelapangan bolehlah berkunjung ke Pos Tenau untuk merasai sendiri bagaimana kehidupan luar bandar tanpa media sosial seperti whatsapp, facebook, instagram dan sebagainya. Namun begitu, kehidupan tanpa media sosial inilah yang mengajar kita menghargai masa, mementingkan komunikasi dengan orang sekeliling dan merasa ketenangan. Saya telah merasai sendiri pengalaman ini dan ianya sangat berbaloi. Selain daripada gunung ganang yang menenangkan fikiran, Pos Tenau juga mempunyai banyak sungai yang cantik yangs sesuai dijadikan kawasan bermandi manda. Jangan buang masa lagi, silalah ke Pos Tenau jika berkelapangan.
No comments:
Post a Comment