Tuesday, December 18, 2018

SUASANA DAN PERSEKITARAN DI KAMPUNG POS TENAU

NAMA: MUHAMMAD RIDUAN BIN ZAMBRI 

NO.MATRIK: D20171078727 

Pada tanggal 17 hingga 18 November 2018, pengakji telah menjalankan satu kajian lapangan di Pos Tenau, Slim River, Perak di bawah kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan demografi dan sosioekonomi masyarakat orang asli di Pos Tenau. 


Perkampungan Pos Tenau ini merupakan satu kawasan perkampungan yang berada di lembah dan dikeliling oleh bukit-bukau dan gunung-ganang banjaran titiwangsa. Suasana yang tenang tanpa sebarang gangguan dan tiada rangkaian perhubungan untuk komunikasi dengan pihak lain. Selain itu, suhu di kawasan perkampungan ini yang sejuk iaitu kira-kira 19 oC sangat memberi keselesaan dan ketenangan kepada hidupan sekelilingnya. Pada peringkat awalnya, terdapat 4 buah kampung iaitu Kampung Pangkak, Kampung Telun, Kampung Sempuh dan Kampung Tising. Empat buah kampung tersebut digabungkan menjadi satu nama iaitu dikenali Kampung Tenau.



Terdapat sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pos Tenau yang diketuai oleh guru besar yang bernama En Abu Yazid, beliau baru berkhidmat selama 3 bulan di sekolah tersebut. SK Pos Tenau mempunyai seramai 39 orang murid. Kakitangan sekolah terdiri daripada golongan lelaki iaitu seramai 11 orang (10 orang guru dan seorang pembantu tadbir sekolah). Para pelajar dikategorikan sebagai pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran iaitu sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK). Mereka juga kurang menguasai bahasa Melayu dengan fasih kerana sangat terpengaruh dengan Bahasa Semai. Kebanyakkan pelajar lemah dalam menguasai komponen 3M (membaca, menulis dan mengira). 

Seperti yang kita ketahui, kurangnya pengetahuan dalam kalangan masyarakat kita mengenai istilah apa itu sebenarnya Orang Asli. Masyarakat kita mengandaikan bahawa mereka hanyalah satu kumpulan orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman hutan yang jauh. Sebaliknya, mereka sama seperti orang Melayu dan banyak sub-etnis (Jawa, Bugis, dan sebagainya), terdapat 3 kumpulan utama Orang Asli iaitu Proto-Melayu, Senoi dan Semang. Setiap satunya mempunyai sub-etnik sendiri. Orang Semai yang tinggal di Ulu Slim tergolong dalam kumpulan etnik Senoi. Jumlah penduduk Kampung Pos Tenau lebih kurang seramai 500 hingga 600 orang dan purata pendapatan sebanyak RM250 sebulan. Aktiviti ekonomi utama penduduk kampung ialah aktiviti menoreh getah, menternak kambing dan berkebun sediri. 



Rumah-rumah bata ini telah siap dibina pada tahun 2009. Kemudahan rumah ini disediakan untuk menjamin keselesaan penduduk kampung daripada hujan dan ribut yang sering melanda di kawasan ini. Beberapa kumpulan pengkaji yang lain membuat tinjauan lapangan di kawasan petempatan penduduk orang kampung.


Walaupun majoriti penduduk kampung diberi rumah yang lebih selesa untuk tinggal, namun masih ada lagi penduduk kampung yang masih tinggal di dalam rumah asal mereka. Keadaan rumah tersebut kelihatan sangat usang dan lama untuk didiami. Pemilik rumah mengatakan bahawa mereka lebih selesa duduk di rumah tersebut. Hal ini kerana, mereka ingin mengekalkan cara tradisi nenek moyang mereka yang terdahulu untuk dijadikan teladan kepada generasi baru mereka.



Semasa pengkaji membuat tinjauan, pengkaji bertemu dengan seorang penduduk yang berumur 48 tahun, yang sedang membaiki atap di kandang kambingnya yang telah rosak akibat hujan lebat dan ribut, kelmarin. Atap-atap diterbangkan oleh angin yang kencang dan telah merosakkan kandang kambingnya. Seorang pakcik yang bernama Wan yang baru sahaja selesai memotong kayu dan papan untuk dijadikan sebagai sumber kayu bagi membuat rumah kayu. Pak Wan masih lagi menggunakan kaedah lama dengan bantuan alat mesin memotong kayu. Kayu balak yang diambil ialah jenis kayu jati dan cenggal. 




Terdapat pelbagai kemudahan awam yang telah disediakan kepada penduduk kampung melalui peranan Tok Batin di kampung tersebut. Antaranya adalah kemudahan jalan raya, lampu jalan, jambatan, rumah, tenaga solar dan sekolah. Kemudahan ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti harian mereka dan memudahkan jaringan pengangkutan untuk bergerak. 



Di kampung tersebut mempunyai sebuah sungai yang indah dan bersih. Sungai ini merupakan sumber air kepada penduduk kampung untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti mandi, mencuci pakaian, memasak dan lain-lain. Kualiti airnya yang bersih dan jernih mengurangkan masalah penyakit bawaan air. Banyak batu-batu sungai yang menghalang arus air supaya ia selamat untuk mandi.



Seorang kanak-kanak kecil yang bermain di halaman rumah dan seorang kanak-kanak lelaki sedang mandi di belakang rumah mereka. Sumber air mandi daripada paip air yang bocor dan perigi yang masih berfungsi.




Pengkaji menemu ramah bersama dengan dua orang pemuda penduduk kampung yang baru pulang dari bekerja dan seorang pengelola kampung yang dikenali sebagai gelaran nama ‘Yok’. Pergaulan dengan penduduk kampung agak mudah dan senang bercampur dengan mereka kerana mereka mudah untuk beramah mesra jika betul dengan caranya.



Pengkaji meluangkan masa bersama kanak-kanak di kampung tersebut bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Kanak-kanak tersebut berusia 12 tahun dan nama panggilannya Irwan. Kami saling mengenali antara satu sama lain melalui program yang kami anjurkan di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau kelmarin. 



Sesi fotografi kumpulan pengkaji bersama guru besar SK Pos Tenau untuk gambar kenangan dan pemberian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada pihak pengkaji kepada pihak SK Pos Tenau. Pengkaji berharap akan dapat peluang untuk menjalankan kajian atau tinjauan di Kampung Pos Tenau pada masa akan datang. 

No comments:

Post a Comment