Tuesday, December 18, 2018

SEKOLAH SUMBER ILMU


SEKOLAH SUMBER ILMU
SEKOLAH KEBANGSAAN POS TENAU ULU SLIM
Disediakan oleh : Sitti Norpiyah Binti Bulaya @ Hj Bulaya
No Matrik : D20161074273
Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim ini ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada tahun 1997. Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim adalah merupakan sebuah sekolah kebangsaan harian yang hanya mempunyai satu sesi atau sidang persekolahan iaitu sidang pagi. Pada awal penubuhan terdapat bangunan lama yang terdiri dari sebuah bangunan bilik darjah dan sebuah kantin. Bangunan lama ini merupakan bangunan kayu. Bangunan baru hanya siap dan mula digunakan pada tahun 2004 merupakan bangunan yang dibina sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bangunan baru ini terdiri daripada 4 buah bangunan bilik darjah dan sebuah kantin.
Lokasi Geografi sekolah ini terletak di kawasan Pedalaman Ulu Slim. Jarak dari Ulu Slim 28km, dari Slim River 50km. Jika dahulunya jalan perhubungan dari tempat ini ke Ulu Slim adalah jalan balak yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4x4 dan motorsikal, kini sekolah ini boleh diakses dengan mudah dengan menggunakan jalan raya yang bertar. Dahulunya kesukaran perjalanan lebih dirasai pada waktu musim hujan, dimana keadaan jalan berlumpur serta licin. Terdapat empat perkampungan Orang Asli di sekitar sekolah, iaitu Kampung Pangkak, Kampung Tenau, Kampung Kehem dan Kampung Sempuh. Penduduk di kawasan ini berjumlah kira-kira 50 keluarga dan bekerja sebagai petani dan pencari hasil hutan. Pendapatan penduduk di sini adalah amat rendah. Purata pendapatan mereka kurang dari RM 500 sebulan. Penduduk di perkampongan ini terdiri dari kaum Semai.
Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim menempatkan seramai 12 orang guru termasuk kakitangan sokongan. terdapat 10 orang guru yang bertugas di sekolah ini dan yang menariknya semua guru yang bertugas adalah guru lelaki. Dalam kalangan mereka ada yang sudah hampir berpuluh tahun mengajar di sekolah ini dan kesemua mereka mempunyai pengalaman yang mengajar yang berbeza. Setiap guru dan kakitangan sokongan di sekolah ini mempunyai tugas dan bidang kuasa masing – masing. Dari aspek bilangan pelajar sekolah pula, Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim mempunyai bilangan pelajar seramai 39 orang. Pelajar tahun enam seramai 12 orang, tahun lima seramai 10 orang, tahun empat seramai 3 orang,  tahun tiga dan tahun dua masing-masing seramai 5 orang dan tahun satu seramai 4 orang. Keunikan sekolah ini dapat dilihat apabila setiap kelas dinamakan menggunakan nama sesebuah kereta. Sebagai contoh, Iswara, Saga, Satria, Inspira, Wira dan Perdana.
  
PENGURUSAN PEMBELAJARAN SEKOLAH
Strategi mengurus bilik pembelajaran merupakan satu elemen yang penting dalam pengurusan sekolah dan perkembangan akademik pelajar. Perkara ini juga berkait rapat dengan jenis-jenis bilik darjah dan bilik pembelajaran khas yang berasaskan tradisional ataupun abad ke 21. Hal ini kerana kesan yang baik akan dapat dicapai dari segi kualiti aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang baik dan secara lansung mampu meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik. Perkara ini melibatkan semua jenis bilik pembelajaran seperti bilik darjah, makmal, studio dan lain-lain. Sehubungan dengan perkara ini, unsur fizikal juga memberi peranan yang penting untuk mencapai keberkesanan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.
Sebagai contoh, penyusunan meja dan kerusi, ruang dan saiz bilik darjah dan pembelajaran, kebersihan, keceriaan, kekemasan, kemudahan sudut-sudut maklumat yang kreatif. Proses pembelajaran yang bermakna perlu memberi iklim bilik darjah dan pembelajaran yang selesa, kemudahan yang sesuai serta keadaan kelas yang kondusif dan berjaya menarik perhatian pelajar. Dengan adanya strategi mengurus bilik pembelajaran ini, guru mampu mengenal pasti halangan dan masalah yang dihadapi sewaktu kelas berjalan.
Persekitaran pembelajaran adalah tempat bagi pelajar untuk memperoleh pengetahuan dan telah dikenalpasti sebagai faktor kritikal dalam pencapaian pelajar. Persekitaran bilik pembelajaran yang sesuai akan wujud melalui pengamalan ciri-ciri bilik pembelajaran serta bilik darjah yang berteraskan abad ke 21 iaitu seperti susunan meja dan kerusi yang berkelompok atau dikenali sebagai berpusatkan pelajar serta akan wujud komunikasi dua hala antara guru dan pelajar. Selain itu, kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh pihak sekolah seperti LCD projektor, papan putih interaktif, sudut maklumat ataupun parking lot serta. Banyak kebaikan yang akan diperolehi oleh pelajar iaitu pelajar akan berasa selesa ketika belajar dan guru mudah untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Strategi mengurus bilik pembelajaran dilaksanakan dalam sekolah dan ternyata Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim juga telah mampu mewujudkan bilik-bilik pembelajaran yang kondusif walaupun sekolah ini hanya mempunyai pelajar seramai 39 orang pelajar sahaja. Perkara ini tidak menjadi halangan kepada guru-guru di sekolah tersebut untuk lebih berusaha untuk merancang dengan rapi akan strategi mengurus bilik pembelajaran. Harapan agar sekolah-sekolah di seluruh Malaysia juga mampu mewujudkan bilik-bilik pembelajaran yang berteraskan abad ke 21 dan dengan usaha sebegini guru-guru di Malaysia mampu memantapkan lagi strategi mereka untuk mengurus bilik-bilik pembelajaran yang ada di dalam sekolah. Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim terdiri daripada beberapa buah blok yang dibekalkan dengan prasarana yang lengkap bagi memenuhi keperluan dan kehendak pendidikan semasa. Kemudahan infrastuktur yang ada di sekolah ini adalah seperti bilik pentadbiran, bilik guru, bilik darjah, pusat sumber, makmal computer, bengkel KH, bilik muzik, bilik sains, dewan sekolah, bilik SPBT dan kantin sekolah.
            
KEMUDAHAN INFRASTUKTUR SEKOLAH


Bilik Sains

Bilik Komputer

Pusat Sumber Sekolah

Bilik Darjah 6

Bengkel Kemahiran Hidup Dan Bilik Muzik

Bilik Interaktif MySTEM

Bangunan Pentadbiran

Bilik Ruang Makanan JAKOA



PENGARUH PERSEKITARAN DAN IKLIM SEKOLAH SK POS TENAU
Budaya kerja di kalangan guru dan kakitangan sekolah juga unik. Ini kerana kebanyakkan guru datang awal ke sekolah dan pulang lewat bagi memastikan semua pengurusan dan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan baik. Guru-guru di sekolah juga turut membantu kakitangan sokongan bagi menceriakan kawasan sekolah. Amalan kerjasama ini mewujudkan hubungan yang erat antara mereka.  Iklim Sekolah ialah sifat dan suasana yang ada di sekolah yang membezakannya dengan sekolah lain. Sifat dan suasana yang ada di sekolah adalah hasil interaksi antara guru dan pelajar serta masyarakat yang terdapat di dalam sekolah tersebut secara keseluruhannya. Iklim Sekolah sangat mempengaruhi perkembangan pelajar, terutamanya melalui pengenalan konsep kendiri, keberkesanan keupayaan bekerja dan kemampuan membina hubungan yang baik dengan orang lain.
Pengaruh sekolah memainkan peranan utama selepas keluarga dalam pembentukkan personaliti pelajar.  Pengarah sentiasa memberi sokongan kepada guru terhadap amalan pengajaran mereka dan menggalakkan mereka menggunakan inovasi dalam kerja seharian mereka. Pelajar dan guru disekolah merasa sangat selesa ketika berada di perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaaan bersih dan teratur. Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran sekolah yang ceria dan bersih memberi keselesaan dan mengambarkan kecintaan serta kerjasama yang tinggi di kalangan warga sekolah. Keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah adalah penting bagi meningkatkan mutu pendidikan kerana mempunyai iklim sekolah yang ceria, tenang dan selesa ke arah tercapainya visi dan misi sekolah serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Suasana dan persekitaran sekolah yang bersih, ceria, tenteram amat perlu bagi meningkatkan keselesaan pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang dari segiemosi, rohani, jasmani dan intelek. Program keceriaan sekolah mempunyai matlamat untuk mewujudkan sebuah sekolah yang mempunyai persekitaran yang bersih, ceria, cantik, dan mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk pelajar iaitu selaras dengan visi kebanyakan sekolah iaitu bagi mencapai kegemilangan akademik, kokurikulum dan sahsiah warganya yang berteraskan ilmu, iman dan aman.




(Pengaruh Persekitaran Dan Iklim Sekolah Sk Pos Tenau)

No comments:

Post a Comment