Wednesday, December 12, 2018

PERMAINAN YANG SERING DILAKUKAN OLEH MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU


NAMA: SITI NUR ATIQAH BINTI AZMAN
NO. MATRIK : D20171078746




LAPORAN KAJIAN LAPANGAN DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI DI POS TENAU, ULU SLIM, PERAK.

TAJUK KAJIAN:
PERMAINAN YANG SERING DILAKUKAN OLEH MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU



Orang asli ialah manusia yang asal mendiami muka bumi ini. Orang asli lebih dikenali sebagai masyarakat pribumi di mana mereka mempunyai asal-usul hubungan dengan zaman Mesolitik dan Paleolitik. Masyarakat orang asli ini juga mempunyai status penduduk terawal yang berperanan mencorakkan negara ini. Golongan orang asli ini dianggap kuno dimana mereka tinggal jauh daripada masyarakat lain dan hidup di kawasan pedalaman yang terdapat di negara ini. Ia jelas ditunjukkan apabila penduduk orang asli yang tinggal di Pos Tenau yang merupakan perkampungan yang terletak di pedalaman dan hulu perak. Oleh itu, orang asli ini dianggap hanya bergaul dengan etniknya sahaja dan agak pemalu untuk bergaul dengan orang luar atau pelawat yang ke kampung mereka. Tetapi di Pos Tenau ini, masyarakatnya tidak seperti orang asli yang asal kerana mereka sudah mula mengikuti perkembangan terkini seperti berpakaian, bekerja, keluar ke pekan, mempunyai kenderaan, rumah yang disediakan oleh kerajaan dan sebagainya.

            Berdasarkan Seksyen 3 dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Orang Asli ditakrifkan bagi mana-mana yang bapanya ialah ahli daripada kumpulan etnik Orang Asli, yang bercakap bahasa Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli, dan termasuklah seorang keturunan melalui lelaki itu. Selain itu, seseorang itu akan dilabelkan sebagai orang asli apabila mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa budak oleh Orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang Orang Asli, lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli, dan menjadi ahli daripada suatu masyarakat Orang Asli. Akhir sekali, ia juga dikategorikan orang asli apabila seseorang itu merupakan anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat anak itu lazimnya bercakap bahasa Orang Asli dan kepercayaan Orang Asli dan masih lagi menjadi ahli daripada suatu masyarakat Orang Asli.

Pos Tenau merupakan sebuah kampung yang terletak di Perak. Ia jauh di pedalaman yang penduduknya hanya orang Asli beragama Kristian. Kampung tersebut diberi nama Pos Tenau berikutan di kawasan itu terdapat banyak pokok enau. Oleh itu, nama kampung itu diambil daripada nama pokok enau tersebut. Menurut guru besar SK Pos Tenau, orang asli di Perkampungan Pos Tenau merupakan suku kaum semai di mana ianya suku kaum orang asli yang terbesar jumlahnya di Malaysia. Suku kaum semai kebanyakan tinggal secara berterabur di sekitar kawasan Perak Tengah dan Perak Selatan, dan terdapat juga di Pahang iaitu Cameron Highland. Ia terbukti apabila orang asli semai ini tinggal di perkampungan Pos Tenau yang merupakan Perak Tengah. Orang asli di Pos Tenau ini hidup secara bermasyarakat di mana mereka saling berinteraksi antara satu sama lain, malah susunan rumah mereka juga tersusun berdekatan antara satu sama lain. Suku kaum Semai ini menjalankan kerja secara pertanian dan hasil hutan, tetapi kini berikutan kemajuan dalam peredaran masa, terdapat juga penduduk kampung di Pos Tenau yang merupakan suku kaum Semai bekerja di bidang kerajaan dan swasta seperti perhotelan. Oleh itu, jelaslah suku kaum semai di Pos Tenau telah mula mengikut peredaran masa yang kini makin maju walaupun mereka masih perlahan dalam bidang kemajuan teknologi moden ini.

Dalam kajian ini, saya memilih untuk mengkaji berkaitan permainan yang sering dilakukan oleh masyarakat orang asli di Pos Tenau. Hal ini bagi mengetahui masa lapang mereka diisi dengan melakukan permainan seperti bermain sepak takraw, bola sepak, tenangkol (mengangkat kawan), mandi-manda di luar rumah, bermain dengan kambing, menyertai aktiviti sekolah menyanyi, menari, bola jaring dan lain-lain. Seorang responden iaitu pemuda di Kampung Pos Tenau itu mengatakan bahawa kanak-kanak orang asli di kampung itu tidak lagi melakukan permainan tradisional seperti di zaman mereka dahulu kerana kanak-kanak pada zaman kini telah mendapat pendidikan di sekolah. Oleh itu, mereka banyak menyertai aktiviti di sekolah dan bermain permainan moden yang dilakukan oleh kanak-kanak di tempat lain juga seperti bola sepak, sepak takraw, bola jaring dan lain-lain.

Melalui temubual dengan sekumpulan kanak-kanak di SK Pos Tenau, saya telah mendapat maklumat bahawa mereka juga suka bermain tenangkol (mengangkat kawan di belakang badan). Tenangkol merupakan panggilan bagi permainan itu yang disebut oleh kanak-kanak di sana. Selain itu, Irwan yang merupakan pelajar di SK Pos Tenau menyatakan bahawa mereka di situ tidak lagi berminat untuk melakukan permainan tradisional seperti yang dilakukan oleh masyarakat pada zaman dahulu. Hal ini demikian kerana, kanak-kanak pada zaman kini telah disediakan dengan kemudahan yang membolehkan mereka melakukan permainan yang sering dimain oleh kanak-kanak lain seperti bola sepak dan bola jaring. Tambahan pula, mereka dibenarkan untuk menggunakan kemudahan padang SK Pos Tenau sekiranya ingin bermain bola sepak pada setiap petang.

Saya juga telah memerhati suasana di perkampungan orang asli di Pos Tenau di mana mereka bermain bola sepak tidak mengikut ukuran umur. Mereka bermain bersama tidak kira sama ada tua, muda atau kanak-kanak. Hal ini dapat lagi mengeratkan hubungan kemasyarakatan mereka. Oleh itu, nilai baik ini perlu dicontohi oleh semua masyarakat di Malaysia agar hubungan antara golongan tua dan golongan muda semakin erat. Dengan cara ini, ia dapat meningkatkan tahap persefahaman antara mereka dan sifat saling kebergantungan antara satu sama lain. Sikap mereka yang hidup bermasyarakat dan mesra antara satu sama lain amatlah saya kagumi. Bukan setakat itu sahaja, ibubapa dan keluarga juga sangat memberi sokongan terhadap anak-anak mereka dalam melakukan sebarang aktiviti atau permainan.

Disamping itu, seorang responden yang digelar Yob mengatakan bahawa masyarakat orang asli amat meminati hiburan seperti menari, menyanyi dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, mereka membesar dengan pelbagai upacara yang melibatkan tarian dan nyanyian. Oleh itu, mereka telah lali dan sangat obses dengan hiburan sebegitu. Hal ini jelas dapat dilihat, apabila pihak pengkaji telah menganjurkan sebuah program bersama pelajar-pelajar SK Pos Tenau, mereka sangat pandai menari dan menyanyi. Walaupun hidup mereka jauh di pedalaman, tetapi mereka telah didedahkan dengan lagu-lagu dan tarian terkini seperti lagu dangdut. Menurut seorang guru SK Pos Tenau, pihak sekolah sememangnya menyediakan kemudahan ‘PA System’ di sekolah itu. Hal ini bagi mengelakkan kanak-kanak bosan untuk belajar. Oleh itu, hiburan sangat penting bagi menarik minat mereka untuk rajin ke sekolah dan berminat untuk belajar.

Akhir sekali, kita dapat melihat masyarakat orang asli pada masa kini yang tinggal di Pos Tenau telah maju seiring era permodenan walaupun mereka agak lambat dalam penggunaan teknologi atau kemudahan yang disediakan di Malaysia. Perkara ini sedikit sebanyak mempengaruhi masyarakat orang Asli masa kini berbeza dengan masyarakat orang asli pada masa dahulu dari segi pakaian, tempat tinggal, permainan dan sebagainya. Dalam kajian saya ini, saya lebih berfokus kepada permainan yang dilakukan oleh masyarakat orang asli di Pos Tenau pada masa lapang. Oleh itu, saya dapat simpulkan bahawa masyarakat pada masa kini tidak lagi melakukan permainan yang dilakukan oleh masyarakat orang asli pada masa dahulu seperti menyabung ayam, biji saga, sorok-sorok, tating lawi dan banyak lagi. Malah, seorang pemuda di kampung itu juga turut memberikan jawapan yang sama iaitu masyarakat sekarang tidak lagi melakukan permainan yang dilakukan oleh orang asli pada zaman dahulu yang tinggal di dalam hutan dan permainannya juga berasaskan alatan persekitaran yang terdapat di dalam hutan seperti biji saga.


Permainan yang digelar Tenangkol yang sering dilakukan oleh kanak-kanak orang asli di Pos Tenau.

Mandi-manda di luar rumah.
Permainan sepak takraw. 




Bermain bola sepak di padang sekolah

Bermain dengan kambing






Kanak-kanak di Pos Tenau menyertai aktiviti yang dianjurkan di SK Pos Tenau.





Sesi temubual dengan penduduk di Kampung Orang Asli Pos Tenau.


Sesi bergambar bersama semua pelajar Geografi Penduduk yang ke Pos Tenau.






No comments:

Post a Comment