Friday, December 7, 2018

SAMBUTAN PERAYAAN KAUM SEMAI DI POS TENAU

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca semua. Alhamdulillah pada entri ini saya berpeluang untuk berkongsi mengenai perayaan orang asli iaitu kaum Semai di Pos Tenau. Kampung orang asli di Slim River ini terbahagi kepada Kampung Gesau, Kampung Keding, Kampung Bangkong, Kampung Tibang, Pos Bersih dan Pos Tenau. Pemilihan lokasi kajian lapangan adalah di Pos Tenau. Sebelum saya meneruskan mengenai tajuk saya, alhamdulillah pertama sekali saya ingin berterima kasih kepada pensyarah kami, Dr. Kamarul kerana kesudian beliau untuk membawa kami mengenali kampung Pos Tenau.

 Pengalaman saya yang pertama dan terindah kerana berpeluang untuk bermalam di tempat mereka, kerana sebelum ini saya hanya masuk melawat sahaja ke kampung asli. Keindahan itu dapat dilihat pada saat saya sampai ke kampung tersebut dalam lingkungan jam 11 pagi setelah melalui jalan bengkang bengkok dan hampir muntah untuk sampai ke Pos Tenau. Ini akan menjadi gambaran kepada saya jika saya berpeluang ditempatkan mengajar ke perkampungan orang asli. Selama 2 jam perjalanan daripada UPSI ke Pos Tenau namun ia dibalas dengan keindahan kawasan tersebut. Sesungguhnya ini adalah satu nikmat yang tidak akan dilupakan.

Keindahan kampung Pos Tenau

Saya akan berkongsi mengenai jenis perayaan kaum Semai. Di Pos Tenau jenis kaum adalah Kaum Semai. Melalui sumber pencarian dan hasil temubual saya terhadap kaum tersebut, Suku Kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Pos Tenau ini mempunyai hampir 500- 600 orang penduduk.

Pada suatu ketika dahulu kehidupan Kaum Semai sama seperti Orang Asli yang lain di Negara ini iaitu hidup secara nomad. Mereka berpindah dari satu tempat ke tempat lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang ataupun berpindah atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak penyakit hawar.

Mereka mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri. Memburu dan menangkap ikan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan kaum ini. Aktiviti memburu biasa dilakukan oleh lelaki sahaja. Peralatan memburu seperti buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap mudah diperolehi di hutan. Antara jenis-jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung, biawak, tupai dan binatang kecil yang lain. Ikan adalah sumber utama protein. Ia ditangkap dengan menggunakan lukah, kail, racun akar tuba, serampang, jaring, tuar dan juga dengan tangan. Pekerjaan ini dilakukan oleh kaum lelaki dan perempuan. Hasil seperti rotan, petai, damar, buluh, cendana dan gaharu akan dijual. Mereka pulang pada waktu tengahari atau petang.

Antara hasil hutan yang dapat dijual oleh orang asli.

Sesungguhnya kita sangat bertuah kerana di Malaysia terdapat berbilang kaum dan budaya. Negara kita terkenal dan kaya dengan budaya dan adat resam yang berbeza di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Seperti masyarakat lain, Orang Asli juga mempunyai budaya, adat resam, bahasa dan perayaan tersendiri. Di Pos tenau kebanyakan mereka beragama Kristian. Jadi perayaan mereka adalah menyambut Hari Kristmas. Sama seperti di tempat lain, mereka akan mengadakan perayaan pada malam Hari Kristmas. Pada malam tersebut, kebanyakan penduduk akan berkumpul dan mengadakan makan malam bersama mereka.

Terdapat tarian dan jamuan makan yang akan diadakan. Tarian Sewang yang merupakan satu tarian kebudayaan Orang Asli , boleh dijadikan lambang budaya Orang Asli dan dipersembahkan di setiap sambutan perayaan seperti tarian naga oleh masyarakat Cina. Tarian ini merupakan adat mereka. Kanak kanak seusia 5 tahun ke atas kebanyakan sudah pandai menari. Hal ini kerana kami ada membuat program bersama murid SK Pos Tenau megenai malam kebudayaan. Kebanyakan daripada mereka pandai menari. Saya tertarik dengan lenggok badan mereka umpama mereka memasuki kelas tarian sedangkan tidak. Jadi tak hairanlah jikalau setiap perayaan mereka akan disambut dengan tarian.

Tarian malam kebudayaan oleh murid SK Pos Tenau


Selain itu, Kaum Semai mempunyai hari perayaan sendiri seperti Hari Genggulang/ Menyambut Tahun Baru, Hari Menuai atau Menggulung dan Hari Membuka Ladang Baru.

Hari Genggulang
Mengikut kepercayaan turun-temurun Suku Kaum Semai, Hari Genggulang diadakan untuk kesejahteraan dan keselamatan kampung. Kebiasaan perayaan ini akan disambut pada akhir tahun iaitu akhir bulan Disember atau di awal tahun pada bulan Januari atau Februari. Ia merupakan upacara tahunan yang paling meriah dan penuh tradisi. Kemuncak upacara adalah di mana setiap penduduk mengadakan kenduri di rumah masing-masing dan orang ramai dipelawa sama. Untuk meriahkan lagi perayaan itu, ia disambut dengan joget orang asli atau Modek dan di setengah tempat mereka menggunakan muzik pengiring. Upacara ini biasanya berlarutan hingga ke pagi hari.

Menuai Dan Menyulung Tahun
Suku Kaum Semai menyambut hari menuai padi dengan mengadakan kenduri pada hari pertama padi dituai. Hari itu merupakan hari yang paling sibuk kerana setiap orang menjalankan berbagai-bagai aktiviti seperti menangkap ikan, memburu, mengutip sayur, menuai dan menumbuk padi sebagai persediaan untuk kenduri besar.

Membuka Ladang Baru
Membuat ladang merupakan tugas yang mesti dilakukan oleh Orang Asli kerana ia adalah punca pendapatan mereka. Setiap tahun mereka akan membuka ladang baru untuk mendapatkan makanan. Mengikut kepercayaan setiap hutan tebal, gunung, gaung, bukit, dan anak sungai ada keramat dan penunggu yang boleh mendapatkan bencana atau bala. Oleh itu untuk keselamatan diri dan tapak ladang, mereka akan mengadakan kenduri sebagai menjamu penunggu atau keramat di daerah itu. Kenduri ini biasanya diiringi oleh sewang diwaktu malam hingga ke siang hari.

Namun melalui hasil temubual dengan penduduk Pos Tenau, perayaan ini sudah berkurangan dek perubahan zaman yang semakin maju. Sesungguhnya banyak input dan output yang saya dapat melalui hasil pemerhatian, temubual dan rujukan mengenai Suku Kaum Semai melalui sumber internet dan perpustakaan. Semoga dengan perubahan era globalisasi ini mereka masih mengamalkan perayaan ini dalam Kaum Semai agar tidak tenggelam dek masa.

Kenangan terindah bersama mereka. Semoga ada peluang untuk menjejaki lagi kesini.

Terima kasih buat Dr Kamarul pensyarah Geografi Penduduk, guru besar SK Pos Tenau, Cikgu Yazid serta guru-guru yang banyak membantu, dan rakan sekelas yang banyak menjayakan program ini. Walaupun kita berlainan kos, namun program ini dapat kita jalankan dengan sempurna walau penuh kekurangan. Tanpa mereka kemungkinan saya tidak akan merasa peluang ini. Semoga kita jumpa lagi. Lots of love, Syafiqa.
Gambar kenang-kenangan bersama Dr Kamarul, Cikgu Yazid dan kawan-kawan sekelas.


NAMA: NORSYAFIQA BINTI MOHAMAD
NO MATRIK: D20161073952
TAJUK: SAMBUTAN PERAYAAN KAUM SEMAI DI POS TENAU

No comments:

Post a Comment