Thursday, December 13, 2018

Seni Bina Kediaman Masyarakat Orang Asli di Pos Tenau, Ulu Slim, Perak.




         Pos Tenau, Ulu Slim, Perak. Siapa sangka di atas bumi Malaysia yang bertuah ini, masih ada rumah kayu beratapkan rumbia. Rumahnya juga kecil, bahkan bilik tidurku di Kuala Lumpur juga lebih besar dari ini. Jika aku tunjukkan pada anak-anak saudaraku yang tinggal di tengah bandar besar itu gambar rumah ini, pasti mereka tertanya-tanya, adakah ini rumah, atau setor penyimpanan barang kah? Namun ini lah realiti kehidupan, ini lah dia tempat tinggal sekumpulan besar masyarakat Orang Asli Semai di atas gunung ini.



Rumah masyarakat Orang Asli disini dibina sendiri oleh mereka. Kayu dan daun rumbia diambil di kawasan hutan yang mengelilinginya. Tiangnya dibina tinggi, agar kolong dibawah rumah kadang-kala dijadikan oleh kambing peliharaan tempat berehat. Bila hujan pula, air tidak akan naik ke atas rumah. Hairan aku, tidak masukkah air hujan ke dalam rumah? Kalau ribut pula? Sudah la kawasan Pos Tenau ini boleh dikatakan di kawasan tanah tinggi, tidak sejukkah mereka?





“ Tidak sejuk pun ”, kata anak-anak ini. Walaupun bahasa Melayu mereka agak sukar untuk difahami kerana mereka lebih gemar berceloteh dalam bahasa Semai, tetapi mereka tetap rajin melayan pertanyaan ku. “ Kalau hujan pun air tak masuk, kalau bocor masuk,” jelas salah seorang dari mereka lagi. Katanya ada atap bumbung rumahnya yang bocor, jadi setiap kali hujan air akan membasahi lantai. Jadi bapanya telah menukarkan bumbung rumah mereka, dari atap rumbia kepada atap zink.





Tingkap sebesar muka itu sahaja lah yang membenarkan cahaya matahari dari luar menerangi kawasan di dalam rumah. Apakan daya, masih tiada bantuan eletrik yang dapat dihubungkan ke kawasan ini. Terputus hubungan dengan dunia luar selama 2 hari juga sudah semput kami dibuatnya, bagaimana pula dengan masyarakat orang asli di sini? Begitu juga dengan sumber air bersih, masih megharapkan air sungai untuk mencuci dan sebagainya. Tandas? Apa juga guna tandas kalau tiada sumber air paip? Ke sungai jugalah nampaknya.






Ada juga beberapa buah rumah batu yang dibina oleh kerajaan untuk masyarakat di sini, namun hanya beberapa kerat sahaja yang menerima bantuan. Jika dikira, mungkin tidak sampai separuh pun keluarga yang mempunyai rumah batu. Biliknya 1, tandas juga tiada. Tetapi bukankah rumah ini lebih baik dan kukuh? Tiada lagi air hujan yang akan membasahi lantai rumah.



2 hari aku di Pos Tenau, banyak yang aku pelajari disini. Di harapkan agar kerajaan lebih memberikan tumpuan kepada masyarakat Orang Asli di Malaysia. Keperluan asas seperti bekalan air paip, sumber elektrik dan jalan raya adalah sesuatu yang perlu diberikan secara adil dan saksama kepada rakyat Malaysia. Janganlah asyik dibangunkan bandar-bandar besar yang sudah hampir kehabisan oksigen itu, namun masih ada perkampungan-perkampungan kecil ini yang disorok dibawah bantal!

Disediakan oleh:
Nur Amira Binti Mohd Nor Rasib
D20161073533 

No comments:

Post a Comment