Kali ini, saya
ingin kongsikan pengalaman saya mengunjungi kampung Orang Asli suku kaum Temiar
yang terletak di Pos Tenau Ulu Slim,Perak. Sebelum saya menyentuh tentang Orang
Asli Pos Tenau ini, ingin saya menceritakan sedikit siapakah mereka Orang Asli?
Orang Asli merupakan istilah yang digunakan untuk masyarakat peribumi yang
berada di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak termasuk masyarakat peribumi
yang berada di Sabah atau Sarawak.
Tujuan utama
ekspedisi atau kajian lapangan kali ini
ialah untuk mengadakan aktiviti sosial, termasuklah menyampaikan sumbangan
berbentuk makanan keperluan asas, pakaian dan wang. Membantu kanak-kanak Orang
Asli Pos Tenau membaca dan menulis serta menggalakkan mereka untuk lebih
meminati pendidikan formal. Ini kerana, secara umumnya kes keciciran pendidikan
formal dari sekolah rendah kepada sekolah menengah adalah tinggi yang melebihi
30% (JHEOA, 2008). Faktor ini bukanlah sepenuhnya disebabkan pihak bertanggung
jawab berkaitan tidak memainkan peranan, sebaliknya ia juga disebabkan banyak
faktor lain, seperti kurangnya kesedaran ibu bapa, budaya dan persekitaran hidup,
kekangan ekonomi dan minat kanak-kanak Orang Asli sendiri.
Suku Kaum Semai
tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak
Selatan dan Pahang Barat. Bancian pada tahun 1993, menunjukkan jumlah mereka
telah meningkat lebih daripada 42,000 orang dan merupakan suku kaum Orang Asli
yang terbesar jumlahnya. Mereka hidup bermasyarakat.sebuah kampung biasanya
terdapat diantara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang Penghulu
atau “TokBatin” yang di lantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh
dan ketua adat.
Pada suatu
ketika dahulu kehidupan Kaum Semai sama seperti Orang Asli yang lain di Negara
ini iaitu hidup secara nomad. Mereka berpindah dari satu tempat ke tempat lain
di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang ataupun berpindah
atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak
penyakit hawar. Secara tradisinya mereka hidup dalam kumpulan kecil yang
terdiri daripada 10 hingga 50 kelamin.
Mereka
mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri. Padi huma,
sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan berbagai jenis sayur-sayuran
seperti labu, kacang panjang, timun, kacang bendi adalah hasil tanaman mereka.
Kaum Semai mengamalkan sistem bertukar-tukar makanan, perkhidmatan dan
keperluan lain secara berkongsi. Tidak ada urusan jual beli dilakukan. Sistem
ekonomi cara ini akan mengeratkan lagi silaturahim dan semangat setia kawan di
samping mewujudkan kemesraaan di kalangan mereka.
Memburu dan
menangkap ikan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan kaum ini.
Aktiviti memburu biasa dilakukan oleh lelaki sahaja. Peralatan memburu seperti
buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap mudah diperolehi di hutan. Antara
jenis-jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung,
biawak, tupai dan binatang kecil yang lain. Ikan adalah sumber utama protein.
Ia ditangkap dengan menggunakan lukah, kail, racun akar tuba, serampang,
jaring, tuar dan juga dengan tangan. Pekerjaan ini dilakukan oleh kaum lelaki
dan perempuan. Hasil seperti rotan, damar, buluh, cendana dan gaharu akan
dijual. Mereka pulang pada waktu tengahari atau petang.
Orang yang
sedang menerima rawatan dari Pawang/Bomoh harus mengikut pantang larang yang
ditentukan olehnya seperti berikut:
- Dilarang memakan ikan yang mempunyai sengat (berbisa)
- Dilarang memakan rusa, siamang, ayam denak, tenggiling dan sebagainya bergantung kepada penyakit yang dihidapi dan mengikut pantang yang dikenakan oleh Tok Bomoh.
- Dilarang memakan kari, cabai, keladi dan makanan yang berwarna merah.
Jika sekiranya
ada pesakit yang melanggar pantang larang tersebut, ia akan memudaratkan
pesakit dan akan berlaku “Tekreg” (Pecah Pantang) dan boleh membawa maut atau
Pawang sendiri akan ditimpa sakit yang teruk yang tidak dapat diubati.
- Tidak boleh jatuh di dalam rumah yang sedang dalam pembinaan. Kalau jatuh, ini boleh mendatangkan sial atau kurang sihat penghuni rumah tersebut.
- Seseorang yang akan bermalam di rumah yang baru dibina eloklah bermalam sehingga 3 malam, jika kurang boleh mendatang perkara yang tidak baik kepada tuan rumah.
- Setiap rumah baru mesti diadakan kenduri atau ditepung tawar. Jika tidak melakukannya mungkin mendatangkan sial kepada penghuni rumah tersebut.
Sesi Temuramah Bersama Orang Kampung Pos Tenau
|
Kawasan Perumahan Di Pos Tenau |
No comments:
Post a Comment