Sunday, December 16, 2018

KRAFTANGAN/PRODUK MASYARAKAT ORANG ASLI POS TENA



Disediakan oleh:
 Muhammad Imran Bin Ishak (D20162076175)
Pada 17 dan 18 November 2018 yang lepas, pelajar-pelajar bersama pensyarah kursus Geografi Penduduk (HGM3033) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan kajian lapangan bertempat di  Pos Tenau, Ulu Slim Perak. Perjalanan dari Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI ke Pos Tenau mengambil masa hampir 2 jam 30 minit. Jalan untuk sampai ke Pos Tenau agak berliku-liku disebabkan kedudukan Pos Tenau yang berada atas gunung Banjaran Titiwangsa. Bagaimanapun perjalanan untuk sampai ke Pos Tenau berjalan dengan lancar tanpa mengalami sebarang masalah. Jalan untuk naik ke Pos Tenau telah diturap sepenuhnya memudahkan lagi kenderaan untuk turun naik ke Pos Tenau. Kami menaiki kenderaan 3 buah pacuan empat roda dan sebuah lori untuk sampai ke atas. Setelah tiba di atas kami memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau dan mengeluarkan barang-barang yang dibawa. Kami akan bermalam di sekolah tersebut setelah mendapat kebenaran Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Tenau sebelum bergerak ke sana. Cuaca yang sangat cerah serta ditiup angin sejuk di atas gunung amat menyegarkan badan apabila berada di sana. Orang asli di Pos Tenau merupakan suku kaum Semai yang majoritinya beragama Kristian.

Hadapan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau

Pelajar-pelajar yang mengambil kursus Geografi Penduduk (HGM3033) ditugaskan membuat tugasan berkaitan Pos Tenau bagi kajian lapangan yang dijalankan ini. Saya telah memilih tajuk kraftangan/produk masyarakat orang asli Pos Tenau sebagai tajuk tugasan saya bagi kajian lapangan ini. Selama dua hari di Pos Tenau, pelbagai maklumat yang saya perolehi berkaitan kraftangan atau produk yang dihasilkan oleh masyarakat orang asli di sana. Ketika berada di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau, saya dapat melihat sendiri hasil tangan masyarakat orang asli di situ digunakan untuk menghias dewan sekolah tersebut.


Anyaman buloh yang dihasilkan oleh masyarakat orang asli di sana bagi menghias dewan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau.

Terdapat empat buah perkampungan masyarakat orang asli di Pos Tenau. Saya telah melawati hanya tiga berkampungan sahaja kerana sebuah lagi kampung berada agak jauh dari Sekolah Kebangsaan Pos Tenau. Sepanjang berjalan menyusuri ketiga-tiga perkampungan orang asli Pos Tenau ini, saya dapat melihat sendiri hasil tangan yang dilakukan sendiri oleh mereka menggunakan sumber-sumber hutan terutamannya buloh.

Batang buloh digunakan untuk membuat tempat penyidai baju mereka.

Selain itu, saya juga dapat melihat produk yang dihasilkan penduduk orang asli Pos Tenau untuk membuat dinding, lantai dan bumbung menggunakan sumber hutan. Dinding-dinding dan lantai rumah tradisional mereka dibuat daripada anyaman buloh bagi menghalang hujan dan tiupan angin serta sebagai tempat untuk mereka berlindung. Di samping itu, bumbung rumah mereka juga dibuat daripada daun nipah yang dianyam menjadi atap.

Rumah tradisional masyarakat orang asli di Pos Tenau.

Namun pada masa sekarang, masyarakat orang asli di Pos Tenau telah mendapat bantuan perumahan daripada pihak kerajaan. Setiap keluarga orang asli di sana telah mendapat rumah batu yang lebih selesa daripada rumah tradisional mereka sebagai tempat tinggal mereka. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa rumah tradisional mereka di perkampungan Pos Tenau. Ketika berjalan ke sungai di Pos Tenau untuk mandi, saya terserempak dengan salah seorang penduduk kampung orang asli Pos Tenau yang sedang memotong pokok tumbang di tepi sungai. Menurut dia, kayu daripada pokok yang dipotong ini akan digunakan untuk membuat produk atau kraftangan.

Hasil kayu yang dipotong daripada pokok yang tumbang untuk dihasilkan sebagai produk

Pengalaman saya berada dua hari di Pos Tenau dapat memberi pelbagai info berkaitan masyarakat orang asli di sana. Tambahan pula, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki disalah sebuah perkampungan orang asli yang terdapat di negara kita ini. Sedikit sebanyak saya dapat mengetahui cara hidup masyarakat orang asli di Pos Tenau. Akhir kata, pengalaman yang saya rasai ini tidak pernah akan saya lupakan. Jika ada peluang lagi, saya ingin menyertai program-program yang berkaitan dengan masyarakat orang asli ini.

No comments:

Post a Comment