Thursday, December 6, 2018

NAMA: MARRIANE TANG NGUIK HIONG
NO MATRIK: D20161073395
TAJUK KURSUS: HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK
TAJUK: TERJUMPA "MUTIARA" DI POS TENAU


17/11/2018 (SABTU)

Perjalanan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dari pukul 8 pagi menuju ke Pos Tenau dengan menaiki bas ke SK Ulu Slim untuk singgah di Hari Keusahawanan yang diadakan adalah persinggahan terakhir sebelum bertolak ke Pos Tenau. Banyak juga aktiviti menarik yang diadakan. Ketika kami menjejakkan kaki di sana, kami disambut dengan baik oleh penganjur majlis. kami bergerak dari booth ke booth yang lain untuk membeli makanan dan juga melihat aktiviti yang dijalankan di setiap booth. Kami kemudian menyambung perjalanan dengan menaiki lori ke Pos Tenau. Ini adalah sebuah pengalaman yang tak akan pernah dilupakan. Sakit perit hanya empunya badan yang merasa. Dalam perjalanan, hati tetap teruja walau penuh dengan rintangan untuk sampai ke destinasi. “Semoga berbaloi”, ucapku dalam hati. Tugas sebagai urus setia juga dibahu.


Gambar 1: Kad setiap pelajar yang terlibat sebagai urus setia.

“Sampai!”, jeritan pemandu lori telah menghentikan lamunanku. Turun dari lori, perkara pertama yang aku cari adalah telefon bimbit dan “arghhhh”, tiada rangkaian internet. Kesal kerana kehidupan selama ini tidak pernah adanya perpisahan antara diri ini dengan laman sosial. Dan ini adalah pengalaman kali pertama hidup tanpa rangkaian internet. Telefon bimbit bagaikan tiada erti di kawasan ini. Kami menikmati suasana Pos Tenau. Jelas ada perbezaan. Suasana di sini agak selesa walaupun matahari terik. Tidak seperti di Tanjung Malim. Inikan pula nak dibandingkan dengan Kuala Lumpur.


Gambar 2: Menikmati pemandangan yang indah di Pos Tenau.

Dalam pukul 12 tengah hari, khemah didirikan. Khemah ini akan menjadikan tempat penginapan kami malam ini. Semua gigih mendirikan khemah masing-masing. Setiap orang pasti pernah mendirikan khemah. Sama seperti diriku tapi itu dulu. Tahun 2014 adalah tahun yang terakhir aku pernah mendirikan khemah. Itu pun dibantu oleh orang lain. Terlalu banyak benda yang lepas untuk dikenang. Tapi kini, dengan pengalaman yang ada, aku membantu rakan-rakan yang lain untuk mendirikan khemah.



Gambar 3&4: Khemah yang telah siap didirikan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Setelah itu, kami mendengar taklimat dari guru-guru sekolah yang ada di SK Pos Tenau. Banyak yang dikongsikan oleh cikgu yang dikenali dengan Cikgu Isma. Menurut beliau, di sekolah itu, hanya 39 orang jumlah pelajar dari darjah satu hingga darjah enam yang dikendalikan oleh sepuluh orang guru dan seorang pembantu makmal. Semuanya adalah lelaki. Terdetik dalam hati, “memang sesuaila tiadanya guru perempuan, tempat ini hanya sesuai untuk guru lelaki.” Anggaran orang kampung disini adalah dalam lingkungan antara 500 hingga 600 penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah, tukang kebun ataupun pengawal keselamatan. Bilangan anak bagi sesebuah kekelaurga antara enam hingga lapan. “Jumlah yang agak ramai” bisikku dalam hati. Hal ini demikian kerana aku hanya ada seorang abang.  Aku juga mendapat tahu bahawa semua penduduk di kawasan in beragama Kristian sepenuhnya dan memiliki gereja tersendiri. Banyak maklumat yang kami peroleh ketika taklimat ini diadakan.



Gambar 5&6: Taklimat daripada Cikgu Isma.

Pukul 1.30 tengah hari, “makanan tengah hari dan sampai”, kedengaran suara anak kecil memecahkan kesunyian setelah Cikgu Isma menutup sesi taklimat. Ohya, lupa, Cikgu Isma sebaya denganku, 22 tahun. Wah, beliau dah menjadi cikgu. Aku masih menuntut ilmu lagi. Kuatkan hati, semua indah pada waktu-Nya. Usai menikmati makanan tengah hari, kami berehat seketika. Bersedia untuk aktiviti sukaneka. Sambil menunggu masa untuk sukaneka, aku sempat melelapkan mata di dalam khemah yang telah didirikan walaupun cuaca panas. Badan penat, keadaan panas tolak ketepi sahaja. Mata terlelap seketika.  


Gambar 7: Manis dan sangat berbudi bahasa.

Tepat pukul 2 petang, urus setia yang lain telah bersedia. Dan aku pastinya perlu bersedia juga. Sediakan skrip untuk Malam Kebudayaan pada malam nanti. Aku dan Faris bekerjasama dalam menyediakan skrip yang sesuai untuk malam yang kian menjelang. Susunan majlis telah mampu ku aturkan. Pastinya diawali dengan majlis formal dahulu. Persiapan yang agak rapii bagiku. Mula-mula aku agak gusar untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara majlis ini. Hal ini demikian kerana aku telah lama tidak menjadi pengacara majlis. keadaan ini menjadi cabaran bagiku. Mungkin sahaja aku yang terlebih berfikir tentang tanggapan orang dan merendahkan kemampuan ku sendiri. Hati berbisik, “kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau tidak mencuba, bagai mana nak tahu indahnya sebuah cabaran”. Dan ya, aku bersemangat kembali. Terima kasih minda kerana bersifat positif. Hahahhaha J



Gambar 8: Kegigihan seorang pengacara majlis untuk mengatur perjalanan majlis di Malam Kebudayaan

Pukul 4 petang, sukaneka telah tamat. Aku mnegambil alih tugas urus setia aktiviti dengan mengingatkan para pelajar agar datang pada Malam Kebudayaan dengan membawa ibu bapa mereka. Aku sempat bergurau dengan mereka agar memakai baju yang cantik-cantik dan gurauanku disambut dengan anak-anak di situ dengan menunjukkan bahasa badan agar aku turut memaklumkan kepada semua agar mengenakan solekan. Aku terpaku, “mereka tahu”. Sesuatu yang menarik. Nama pun perempuan, pastinya suka bersolek. Aku mengakhiri aktiviti sukaneka tersebut. Usai bermain, kasutku kebasahan kerana terkena “bom air” (belon yang diisi air).


Gambar 9: Pelajar SK Pos Tenau yang sangat ‘sporting’.

Petang itu, urus setia makanan bertungkus lumus menyediakan makanan untuk tujuan pemanggangan. Urus setia yang lain turut terlibat. Apabila ramai yang menyiapkan makanan, segelintir daripada kami mengambil peluang untuk menjejakkan kaki ke sungai yang turut menjadi sebutan dari Cikgu Isma tentang keindahannya sebentar tadi. Tentunya aku salah satu daripada urus setia yang paling bersemangat hendak ke sungai itu. Tuah ayam Nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu, pensyarah kami, Dr Kamarul sudi menemani kami ke sungai. Pelawaan yang pastinya mengundang senyuman. Kami naik ke kereta Dr Kamarul. Aku tidak pasti kereta jenama apa, rasanya hilux. Pastinya orang tidak akan percaya kalau kami seramai 16 orang mampu mengisi ruang kereta itu. Pensyarah kami sahaja tidak percaya. Hahaha… Pengalaman menuju ke sungai itu, kami nikmati seadanya. Setelah pusing-pusing kampung orang asli, kami berhenti di sebuah sungai. Mata terpana, hati teruja, cantiknya pemandangan sungai ini. Benarlah Kata-kata Cikgu Isma, sungai ini sangat cantik. Sangat bersih. Aku bersama rakan menikmati kesejukan sungai itu. Pastinya aku berendam kerana menikmati air sungai yang sejuk itu. Peluang ini, aku nikmatinya sepenuhnya. Alangkah cantiknya pemandangan di sungai ini. Sangat nyaman dan dingin. Setelah beberapa lama, kami balik ke kawasan penginapan.


Gambar 10: Suasana yang sangat menarik, airnya dingin, udaranya segar.

Sampai sahaja, aku berehat seketika sebelum mengambil keputusan untuk membersihkan diri. Tidak semena-menanya hujan turun dan khemah kami roboh dilanda ribut. Usaha untuk menyelamatkan barang-barang giat dijalankan sebelum semua kebasahan. Peluang untuk tidur di khemah malam ini, terpaksa kami lupakan. Guru besar memutuskan agar kami pelajar perempuan tidur di perpustakaan sekolah dan pelajar lelaki, aku tidak menghiraukan tempat mereka tidur. Selepas berkemas, kami menikmati hidangan makan malam. Makanan yang cukup untuk membuka selera setelah penat bermain dengan hujan.

Selesai sahaja menikmati makan malam, aku bergegas ke dewan SK Pos Tenau. Aku pengacara majlis, sesi membiasakan diri dengan microfon adalah sangat penting. Takut suara tak terkeluar. Hahhaha… aku tergamam seketika, ya, ramainya penonton. Sambutan yang sangat baik dari pihak pelajar SK Pos Tenau sendiri dan juga ibu bapa mereka.



Gambar 11&12: Bekerjasama dengan Faris untuk menjadi pengacara Malam Kebudayaan.

Kami mulakan majlis dengan ucapan alu-aluan, sesi penyampaian cenderahati kepada pihak sekolah. Selesai sahaja, kami meneruskan kepada majlis semi formal iaitu Malam Kebudayaan. Persembahan daripada para pelajar sangat menarik dan bertenaga. Semua ini usaha mereka berlatih petang tadi. Berbaloi kerana persembahan mereka sangat menarik. Sebagai pengacara majlis, aku berusaha untuk mengungkapkan kata-kata yang sesungguhnya sangat sesuai untuk menggambarkan betapa kami dari pihak urus setia berbangga dengan apa yang telah mereka lakukan. Benarlah apa yang Cikgu Isma katakan, “pelajar di sini suka bergelek/berdangdut dan mereka sangat hafal lirik lagu Melayu atau lagu Indonesia yang tengah popular”. Aku terpegun dengan bakat pelajar di sini. Sesuatu aktiviti hiburan yang menarik memandangkan kawasan ini tidak memiliki jaringan internet. Selesai semua majlis itu, kami akhiri majlis itu dengan penyampaian sumbangan dan derma ikhlas kepada semua penduduk kampung yang datang pada Malam Kebudayaan. Pastinya malam ini akan menjadi salah satu kenangan yang tak pernah aku lupakan.

Setelah membersihkan diri, kami tidur di perpustakaan berbekalkan “sleeping bag”. Aku sukar melelapkan mata, mungkin kerana kali pertama datang ke sini. Dalam pkul 2 pagi, aku terlelap. Terima kasih untuk hari ini. Selamat malam.

18/11/2018 (AHAD)

Keesokkan harinya, kami bangun awal dan mengemaskan tempat tidur masing-masing. Setelah membersihkan diri, kami menikmati sarapan. Nyaman dan dingin membuatkan pengalaman berada di sini seperti sedang menikmati percutian Banjaran Alps di Switzerland ketika musim bunga! Hakikatnya kami sedang menikmati sarapan dan kami menjadi saksi kepada keindahan awal pagi yang amat jarang ditemui sekiranya berada di Tanjung Malim. Perjalanan yang penuh liku-liku semalam amat berbaloi apabila mata disajikan dengan persekitaran yang dikelilingi gugusan bukit-bukau lalu membentuk Banjaran Titiwangsa, menyediakan panorama sangat mempesona! Keindahan alam yang sangat menakjubkan. Selamat pagi Pos Tenau!



Gambar 13: Pemandangan yang disajikan oleh Pos Tenau di pagi hari.

Setelah bersarapan, kami bersenam robik yang dikendalikan oleh urus setia aktiviti. Setelah senamrobik. Setelah sekian lama tidak bersenam robik, aku lantas bersemangat. Mungkin sahaja kerana cuacanya yang dingin dan segar. Setelah makan, berehat, kami bersenam robik. Aku hanya memakai selipar. Ya, kasutku masih basah. Terkena bom air semalam. Bersenam dengan berselipar adalah contoh yang tidak baik. Jangan ikut!


Gambar 14: Badan cergas, minda cerdas.

Setelah bersenam robik, kami meneruskan aktiviti dengan bergotong royong. Hal ini demikian kerana, “pandai guna, pandailah simpan”. Tidak mungkin kami meninggalkan sekolah ini dalam keadaan yang tak terurus. Apalagi kami bakal guru, pastinya kami inginkan yang terbaik buat peljar di sini. Kami menjalankan aktiviti gotong royong di kawasan sekolah sahaja. Kami dibahagikan mengikut AJK maing-masing. Aku ditugaskan untuk membersihkan kawasan kantin sekolah. Aku mengelap meja makan, mencuci pinggan mangkuk yang kotor dan juga menyapu kawasan kantin dengan penuh rasa bertanggungjawab. Tempat yang menjadi tempat kami makan dari semalam. Gigih kami membersihkan kawasan ini.



Gambar 15&16: Menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

Setelah tamat gotong royong, kami dilepaskan untuk mengelilingi kawasan rumah untuk tujuan peninjauan berkenaan dengan tajuk masing-masing. Ketika berjalan menikmati pemandangan, alangkah indahnya jika dapat menginap di rumah tradisional Orang Asli yang dibuat daripada kayu dan atap nipah, sekali gus merasai sendiri pengalaman unik. Namun, kami mengambil keputusan untuk mendirikan khemah di perkarangan Sekolah Kebangsaan SK Pos Tenau sahaja. Sehinggalah khemah kami roboh dimusnahkan ribut. Pagi-pagi, khemah dijemur. Mungkin sudah rosak sepenuhnya. Bawa balik “bangkai” khemah saja lah.

Sesungguhnya Pos Tenau menyajikan keindahan yang menakjubkan, selain cuacanya yang dingin dan nyaman terutama pada awal pagi. Kawasan pedalaman dan perkhemahan di perkampungan Orang Asli ini adalah pengalaman yang sangat unik dan istimewa, terutama berpeluang menikmati pemandangan luar biasa di kaki bukit Banjaran Titiwangsa.


Gambar 17: Penuh dengan kehijauan!

Setelah penat berjalan menikmati pemandangan, kami balik dan mengangkat barang-barang untuk disimpan ke dalam lori sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Tanjung Malim. Sekali lagi menempuh jalan pulang dengan menaiki lori. Walau bagaimanapun, trip ke Pos Tenau adalah salah satu trip yang sangat menarik bagiku. Hal ini demikian kerana kami sangat rapat dan saling bekerjasama. Keadaan ini mungkin disebabkan ketiadaan jaringan internet. Hahaha … Terima kasih penduduk Pos Tenau untuk kenangan serta ketenangan ini. Benarlah mutiara itu ada di sini. Ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke Pos Tenau dan mungkin bukan kali terakhir untuk datang sekali lagi.


Gambar 18: Semua pelajar HGM3033 Geografi Penduduk bersama dengan Pensyarah, Dr. Kamarul dan Guru Besar SK Pos Tenau Encik Abu Yazid Bin Jaafar.


Sesungguhnya sedetik bertemu, selama merindu! 

No comments:

Post a Comment