Monday, December 17, 2018

BUDAYA MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU

Disediakan oleh: Muhammad Faris bin Mat Ghazali
No. Matrik: D20162076170

BUDAYA MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU
Kampung Orang Asli Pos Tenau adalah sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Slim River, negeri Perak. Kampung ini berhampiran dengan beberapa perkampungan kecil orang asli yang lain seperti Kampung Gesau, Kampung Bangkong, Kampung Tibang dan Kampung Kedeng. Masyarakat orang asli disini dari keturunan Semai. Anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau. Pekerjaan utama penduduk di sini adalah mencari hasil hutan dan pertanian.
Budaya masyarakat orang asli di Pos Tenau boleh dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu :
·         Perkahwinan
·         Perayaan
·         Kematian

Perkahwinan
Masyarakat orang Asli di Pos Tenau adalah berasal dari suku semai. Hasil daripada temu ramah bersama Tok Batin, beliau telah menceritakan  serba sedikit berkaitan dengan adat perkahwinan masyarakat asli di kawasan tersebut. Pada permulaannya, kelayakan umur minima untuk berkahwin bagi lelaki dan perempuan adalah tidak ditetapkan. Beliau memberitahu bahawa pada seawal umur 16 tahun bagi lelaki mahupun perempuan, mereka sudah boleh berkahwin. Kebiasaannya mereka akan memilih pasangannya sendiri atau pilihan keluarga. Namun begitu, disebabkan oleh dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, kelayakan umur minima untuk berkahwin bagi lelaki adalah 21 tahun dan 18 tahun bagi perempuan.  Terdapat pelbagai proses sebelum perkahwinan berlangsung iaitu:
  1.          Adat Merisik
  2.          Adat Meminang
  3.          Tanggung Nafkah
  4.          Semasa Bertunang
  5.          Hari Berkahwin
  6.          Menyembah (Menerima Nasihat)
  7.          Upacara Penyatuan

Perayaan
Hasil daripada temu bual masyarakat orang asli di Pos Tenau, kesemua masyarakat orang Asli di sini beragama Kristian. Di setiap kampung yang terdapat di Pos Tenau ini disediakan gereja bagi penduduk di sini menjalakan aktiviti keagamaan mereka. Perayaan Christmas merupakan salah satu perayan utama masyarakat orang Asli di Pos Tenau ini. Selain itu, penduduk di sini juga mempunyai hari perayaan sendiri seperti Hari Genggulang iaitu perayaan menyambut tahun baru. Perayaan ini kebiasaannya disambut oleh Suku Kaum Semai yang tinggal di kawasan Perak Tengah, Hilir Perak dan Selatan Perak pada akhir tahun iaitu akhir bulan Disember atau di awal tahun pada bulan Januari atau Februari. Ia merupakan upacara tahunan yang paling meriah dan penuh tradisi. Mengikut kepercayaan turun-temurun Suku Kaum Semai, Hari Genggulang diadakan untuk kesejahteraan dan keselamatan kampung. Namun begitu pada masa kini upacara tersebut sudah beransur berubah mengikut peredaran masa.

Kematian
Apabila terdapat kematian di sesebuah kampung, biasanya sanak saudara jauh dan dekat akan diberitahu. Penduduk tempatan akan menziarahi dan membantu upacara pengkebumian. Ahli masyarakat akan menangguhkan semua kegiatan harian mereka kerana dikhuatiri roh simati akan marah atau menegurnya dan akibatnya orang yang terlibat akan ditimpa malang. Kebiasaannya mayat tidak kebumikan pada hari kematian dengan itu tujuan memberi peluang kepada saudara mara simati yang jauh datang memberi penghormatan terakhir.

            Sebelum upacara pengkebumian, mayat tersebut akan dimandikan dan dibungkus dengan kain baru atau kain putih dan seterusnya dibungkus dengan tikar, diikat kemas-kemas supaya senang diusung. Liang lahad digali sedalam 1 meter. Mayat dimasukkan ke dalam liang lahad. Sebelum di kambus, tiga kepal tanah bercampur arang yang telah dijampi akan diletakkan di kedua-dua belah telinga dan bahagian dada untuk memutuskan hubungan si mati dengan keluarganya. Jika tidak, keluarga yang hidup akan jatuh sakit dan boleh membawa mati. Setelah dikambus, kayu yang diukir (ala kadar) dicacak di atas kubur sebagai penanda dan diikuti dengan upacara meletakkan makanan, minuman dan rokok yang telah dinyalakan diatas kubur selama enam hari berturut-turut.

Pada hari keenam, kayu yang telah dibakar akan dialih untuk memberitahu simati bahawa dia sudah berada di alam lain. Upacara ini dilakukan dalam rumah simati. Setelah masuk hari ketujuh, keluarga serta penduduk kampung akan bergotong-royong menambak atau memadatkan tanah kubur tersebut agar tidak jerlus. Penanda sementara tadi diganti dengan batu nisan yang kekal. Sebelum meninggalkan kubur, makanan, minuman dan rokok akan dilekatkan diatas kubur berkenaan. Salah seorang ahli keluarganya akan memegang batu nisan serta memanggil nama simati seolah-olah menggerakkannya untuk menjamu makanan dan minuman, di samping berpesan bahawa perjalanannya ke alam lain adalah selamat dan memohon supaya tidak mengganggu ahli keluarga yang masih hidup.


Bersama dengan Tok Batin dan penduduk Pos Tenau



Sesi latihan antara pelajar UPSI  dengan murid – murid  Sk Pos Tenau untuk malam kebudayaan.








Bersama – sama dengan pelajar yang yang lain untuk menemu ramah penduduk Asli Pos Tenau.

No comments:

Post a Comment