Friday, December 14, 2018

PANTANG LARANG MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU, ULU SLIM, SLIM RIVER PERAK


KAJIAN LAPANGAN HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK

TAJUK: PANTANG LARANG MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU, ULU SLIM, SLIM RIVER PERAK

17 & 18 NOVEMBER 2018

ILHAM BIN YUSUF
(D20171078735)

Sedikit ‘intro’ tentang perkampungan masyarakat orang asli Pos Tenau. Berdasarkan ciri geografi, kawasan ini terletak tepat di garis sempadan antara negeri Perak dan Pahang iaitu hanya dipisahkan oleh Banjaran Titiwangsa. Menariknya, kawasan ini terletak di kawasan lembah dan ketinggiannya mencecah 730 meter. Pos Tenau ialah nama gabungan tiga buah kampung yang diketuai oleh seorang Tok Batin dan populasi penduduknya ialah sebanyak 600 orang secara kiraan kasar.


Gambar 1: Tapak khemah peserta kajian lapangan

Apabila kita bercakap tentang suatu bangsa, kaum mahupun sesuatu kelompok masyarakat di atas muka bumi ini, maka perkataan ‘pantang larang’ bukanlah sesuatu yang asing lagi. Pantang larang secara amnya boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk peraturan yang diwarisi secara turun-temurun sejak berkurun lamanya. Setiap kelompok mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Demikian juga masyarakat Orang Asli di Pos Tenau. Terdapat beberapa pantang larang yang diperoleh daripada kaedah temu-bual bersama beberapa penduduk Orang Asli yang berbeza umur di Pos Tenau.
    Gambar 2: Sesi menyapa masyarakat Orang Asli

Berdasarkan responden pertama iaitu Joe, 30 (bukan dalam gambar) apabila ditanya tentang pantang larang masyarakat Orang Asli Pos Tenau, maka beliau berfokuskan kepada dua pantang larang utama. Pantang larang tersebut ialah pantang larang semasa kelahiran dan semasa masuk ke dalam hutan. Menurut beliau, dalam pantang larang kelahiran, aspek pemakanan sangat penting. Beliau tidak menjelaskan secara menyeluruh tentang jenis makanan tersebut, cuma beliau boleh menyimpulkan apabila sewenangnya mengambil makanan yang dilarang maka kesihatan ibu yang baru melahirkan akan terganggu. Menurut beliau, jenis makanan tersebut tidak dapat dispesifikasikan kerana kaum-kaum tua lebih tahu tentang perkara tersebut.
Gambar 3: Pemandangan perkampungan yang dikelilingi hutan hijau
Joe menambah tentang pantang larang ketika memasuki hutan. Menurutnya, hutan merupakan tempat yang sangat mistik. Demikian yang kita semua sudah maklumi bahawa di dunia ini bukan kita sahaja yang tinggal, makhluk lain turut berkongsi dunia yang sama walaupun hakikatnya tidak boleh dinampak dengan mata kasar. Oleh itu, adab ketika memasuki hutan sangat dititik beratkan. Teks di bawah ialah perbualan Joe ketika berbicara tentang pantang larang ketika memasuki hutan.

Ketika memasuki hutan, apa yang kita cakap kena jaga. Contohnya, kita jangan sesekali bercakap besar di dalam hutan. Lagi satu tidak boleh kita petik sesuka hati tanpa minta izin dengan hutan. Jangan tebang pokok sesuka hati, sebab kadang ia boleh membawa kepada bencana.”


             Gambar 4: Suasana sekitar perkampungan Orang Asli
Penulis sebenarnya mencuba membandingkan dua responden iaitu satu kaum dewasa dan satu lagi daripada kelompok kanak-kanak. Penulis cuba mendekati kanak-kanak untuk bertanyakan tentang pantang larang yang mereka dengar daripada ibu bapa mereka. Satu dapatan yang menarik, apabila Sharizam, 12 tahun bercakap tentang larangan ke ‘Gunung Sanggul.’ Penulis cuba bertanyakan lebih terperinci dan katanya ibu bapa mereka melarang untuk ke Gunung Sanggul kerana berbahaya. Penulis cuba bertanyakan kepada kanak-kanak lain dan mereka sepakat larangan ke Gunung Sanggul adalah ‘absolute’.
Gambar 5: Penasihat Kajian Lapangan, Dr, Kamarul
Demikianlah sedikit sebanyak tentang pantang larang masyarakat Orang Asli Pos Tenau. Apa yang boleh penulis simpulkan ialah pantang larang lain masih banyak dan cuma kaum tua sahaja yang lebih tahu dan arif. Namun, penulis tertarik dengan kata-kata Joe apabila katanya zaman sekarang pantang larang itu sekadar di lisan dan tidak terlalu diamalkan sangat kerana pemikiran mereka juga sudah terbuka. Penulis mengucap ribuan terima kasih ke Dr. Kamarul (Dr. Kem) kerana memberi peluang untuk kami menempah pengalaman dengan kajian lapangan ini.


No comments:

Post a Comment