Sunday, December 16, 2018

KRAFTANGAN/PRODUK MASYARAKAT ORANG ASLI POS TENA



Disediakan oleh:
 Muhammad Imran Bin Ishak (D20162076175)
Pada 17 dan 18 November 2018 yang lepas, pelajar-pelajar bersama pensyarah kursus Geografi Penduduk (HGM3033) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan kajian lapangan bertempat di  Pos Tenau, Ulu Slim Perak. Perjalanan dari Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI ke Pos Tenau mengambil masa hampir 2 jam 30 minit. Jalan untuk sampai ke Pos Tenau agak berliku-liku disebabkan kedudukan Pos Tenau yang berada atas gunung Banjaran Titiwangsa. Bagaimanapun perjalanan untuk sampai ke Pos Tenau berjalan dengan lancar tanpa mengalami sebarang masalah. Jalan untuk naik ke Pos Tenau telah diturap sepenuhnya memudahkan lagi kenderaan untuk turun naik ke Pos Tenau. Kami menaiki kenderaan 3 buah pacuan empat roda dan sebuah lori untuk sampai ke atas. Setelah tiba di atas kami memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau dan mengeluarkan barang-barang yang dibawa. Kami akan bermalam di sekolah tersebut setelah mendapat kebenaran Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Tenau sebelum bergerak ke sana. Cuaca yang sangat cerah serta ditiup angin sejuk di atas gunung amat menyegarkan badan apabila berada di sana. Orang asli di Pos Tenau merupakan suku kaum Semai yang majoritinya beragama Kristian.

Hadapan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau

Pelajar-pelajar yang mengambil kursus Geografi Penduduk (HGM3033) ditugaskan membuat tugasan berkaitan Pos Tenau bagi kajian lapangan yang dijalankan ini. Saya telah memilih tajuk kraftangan/produk masyarakat orang asli Pos Tenau sebagai tajuk tugasan saya bagi kajian lapangan ini. Selama dua hari di Pos Tenau, pelbagai maklumat yang saya perolehi berkaitan kraftangan atau produk yang dihasilkan oleh masyarakat orang asli di sana. Ketika berada di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau, saya dapat melihat sendiri hasil tangan masyarakat orang asli di situ digunakan untuk menghias dewan sekolah tersebut.


Anyaman buloh yang dihasilkan oleh masyarakat orang asli di sana bagi menghias dewan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau.

Terdapat empat buah perkampungan masyarakat orang asli di Pos Tenau. Saya telah melawati hanya tiga berkampungan sahaja kerana sebuah lagi kampung berada agak jauh dari Sekolah Kebangsaan Pos Tenau. Sepanjang berjalan menyusuri ketiga-tiga perkampungan orang asli Pos Tenau ini, saya dapat melihat sendiri hasil tangan yang dilakukan sendiri oleh mereka menggunakan sumber-sumber hutan terutamannya buloh.

Batang buloh digunakan untuk membuat tempat penyidai baju mereka.

Selain itu, saya juga dapat melihat produk yang dihasilkan penduduk orang asli Pos Tenau untuk membuat dinding, lantai dan bumbung menggunakan sumber hutan. Dinding-dinding dan lantai rumah tradisional mereka dibuat daripada anyaman buloh bagi menghalang hujan dan tiupan angin serta sebagai tempat untuk mereka berlindung. Di samping itu, bumbung rumah mereka juga dibuat daripada daun nipah yang dianyam menjadi atap.

Rumah tradisional masyarakat orang asli di Pos Tenau.

Namun pada masa sekarang, masyarakat orang asli di Pos Tenau telah mendapat bantuan perumahan daripada pihak kerajaan. Setiap keluarga orang asli di sana telah mendapat rumah batu yang lebih selesa daripada rumah tradisional mereka sebagai tempat tinggal mereka. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa rumah tradisional mereka di perkampungan Pos Tenau. Ketika berjalan ke sungai di Pos Tenau untuk mandi, saya terserempak dengan salah seorang penduduk kampung orang asli Pos Tenau yang sedang memotong pokok tumbang di tepi sungai. Menurut dia, kayu daripada pokok yang dipotong ini akan digunakan untuk membuat produk atau kraftangan.

Hasil kayu yang dipotong daripada pokok yang tumbang untuk dihasilkan sebagai produk

Pengalaman saya berada dua hari di Pos Tenau dapat memberi pelbagai info berkaitan masyarakat orang asli di sana. Tambahan pula, ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki disalah sebuah perkampungan orang asli yang terdapat di negara kita ini. Sedikit sebanyak saya dapat mengetahui cara hidup masyarakat orang asli di Pos Tenau. Akhir kata, pengalaman yang saya rasai ini tidak pernah akan saya lupakan. Jika ada peluang lagi, saya ingin menyertai program-program yang berkaitan dengan masyarakat orang asli ini.

HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK
RAFIZAL BIN ROSLI
D20161073478


KEINDAHAN SEJATI DI TANAH POS TENAU, ULU SLIM

Sebuah perkampungan yang sangat unik dan mempunyai keindahannya tersendiri. Keindahan sejati ini sukar untuk diamati di tempat lain selain Pos Tenau. Ketenangan di sini mampu menghapuskan kekusutan yang diibaratkan seperti kesibukan kota. Suasananya yang sungguh tenang dan ini merupakan pengalaman yang saya sendiri tidak akan pernah lupus dalam ingatan. Pos Tenau terletak di Ulu Slim, Perak. Pos Tenau merupakan sebuah perkampungan yang didiami oleh masyarakat orang asli. Sejujurnya, saya tidak tertarik dengan kajian lapangan ini dek kerana saya dimaklumkan bahawa tiada jaringan internet. Akan tetapi persepsi saya salah setelah dan terbukti selepas saya menyertai kajian lapangan ini. Ketenangan yang saya perolehi jauh lebih bermakna daripada apa yang saya bayangkan kerana di Pos Tenau ini dilindungi dan dipenuhi dengan tumbuhan hijau. Bukan itu sahaja, permandangan banjaran Titiwangsa yang menjadi pemisah antara dua buah negeri, iaitu negeri Perak dan Pahang cukup membuatkan saya jatuh hati pada Pos Tenau.


Kabus yang mengaburi banjaran Titiwangsa ini boleh dilihat pada sebelah pagi. Permandangan ini rarely kita lihat. Segala kekangan dan kekusutan secara automatik berlalu dan hilang bagai dibawa angin. 


Setelah hujan dan ribut yang melanda datangnya pelangi. Mahupun pelangi tidak kelihatan, namum warna langit berwarna keunguan dan keperangan ini sangat cantik untuk diamati.

Bak kata orang, besederhanalah untuk bahagia itu lebih baik. Jika kita mencari fancy things definitely this is not the place. Namun, jika kita mencari ketenangan yang abadi, Pos Tenau merupakan salah satu destinasinya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa untuk kita bahagia memerlukan kehidupan yang mewah dan ini sangat berbeza dengan masyarakat disini. Masyarakat disini tidak memerlukan kehidupan yang dilengkapi dengan material untuk mereka bahagia. Hidup serba kekurangan ini  tidak menjadi itu sebagai penghalang untuk mereka bahagia dan mereka tidak memerlukan sesuatu untuk mereka bahagia. Situasi amat jelas terpanar di Pos Tenau dan diinterpretasikan melalui gambar dibawah.


Demi meneruskan kelangsungan hidup mereka, mereka menoreh getah. Walaupun harga getah pada masa kini tidak tentu, akan tetapi selagi kudrat yang dikurniakan oleh pencipta itu masih dimiliki mereka tidak pernah berputus asa. Secara tidak langsung ini sangat memberi saya motivasi. Jangan kerana satu masalah yang timbul, kita sudah membuat kesimpulan bahawa kita tidak akan capai apa yang kita inginkan.



 





Disepanjang perkampungan yang unik ini, pelbagai jenis tumbuhan hijau yang hidup dengan mekar. Salah satunya adalah bunga di atas. Warna kuning yang sangat kontra ini melambangkan keamanan hidup di Pos Tenau ini. 



Terima kasih Pos Tenau dan masyarakatnya yang sangat sporting. Terima kasih kerana memberi kami pengalaman yang sangat berharga ini. Pengalaman ini tidakakan pernah kami lupakan. Ini merupakan keindahan sejati yang hanya berada di Pos Tenau. Sekian, terima kasih.

PRESEPSI MASYARAKAT ORANG ASLI POS TENAU TERHADAP POLITIK DI MALAYSIA


Disediakan oleh:
Mohd Ridzuan Bin Bacho
D20171078759

Rajah 1 : Pemandangan Padang Di Sekolah Kebangsaan Pos tenau


Keindahan dan keaslian alam sekitar di Pos Tenau ini amatlah menajubkan untuk dijadikan kawasan beriadah. Disebalik hutan dan bukit yang mengelilingi Pos Tenau ini, wujudnya masyarakat orang asli yang mempunyai gaya hidup tersendiri. Namun sejak kebelakangan ini telah banyak pengaruh luar yang memberi impak positif dan juga negatif kepada penduduk setempat. Penduduk di sni juga tidak terlepas daripada membicarakan tentang perkembangan politik Malaysia yang penuh dengan warna warni nya.


Rajah 2 : Rumah Tradisi Orang Asli Pos Tenau

          Dahulu nya orang asli Pos Tenau lebih memilih untuk mengundi parti politik Barisan Nasional, namun hal ini telah berubah semasa PRU ke-14. Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan undian terhadap parti Pakatan Harapan yang dulu nya menjadi pihak pembangkang namun kini telah menjadi kerajaan yang memerintah.
         Perubahan ini berlaku disebabkan orang asli Pos Tenau yang telah banyak menghadapi masalah alam hal pemilikan tanah di kawasan mereka. Melalui temu bual bersama orang asli di sini, beliau mengatakan bahawa wakil rakyat yang berkuasa di kawasan mereka sering kali melepas tangan dalam hal-hal permasalaan yang dihadapi oleh masyarakat mereka terutamanya dalam hal pencerobohan tanah di kawasan Pos Tenau.

Rajah 3 : Jalan Raya Di Perkampungan Pos Tenau

            Namun kerajaan yang terdahulu sememangnya telah mewujudkan beberapa kemudahan awam kepada penduduk  Pos Tenau seperti jalan raya, rumah batu dan jambatan. Kemudahan ini semangnya banyak memberikan kesan yang positif kepada mereka.

Rajah 4 : Rumah Batu Di Pos Tenau

Rajah 5 : Jabatan Di Pos Tenau

            Tidak dapat disangkal lagi kerajaan terdahulu sememangnya banyak memberikan sumbangan dan bantuan kepada orang asli di Pos Tenau. Namun kegagalan mereka dalam menyelesaikan masalah pencerobohan tanah di kawasan mereka telah mengakibatkan mereka berubah arah.
      
      Orang asli di sini juga mengatakan harapan mereka terhadap kerajaan kini agar dapat menyediakan kemudahan awam seperti jaringan internet yang baik bagi memudahkan kehidupan mereka di sini. Mereka juga berharap akan wujudnya sumber tenaga elektrik yang mampu membekalkan tenaga elektrik kepada seluruh penduduk Pos tenau.





JENIS PEKERJAAN MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU


               JENIS PEKERJAAN MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU
            Pos Tenau ini merupakan sebuah perkampungan orang asli. Orang Asli merupakan salah sebuah etnik minoriti dan antara warisan yang unik di Malaysia. Justeru, tidak hairanlah sekiranya ramai ahli akademik dan para sarjana begitu tertarik untuk membuat kajian berkenaan dengan perkara yang melibatkan Orang Asli. Dari segi sejarahnya pula, pengkajian terhadap Orang Asli telah bermula sejak abad ke19 lagi. Menurut Gomes (1987), antara tokoh yang terawal dalam mengkaji tentang masyarakat Orang Asli ini adalah Anderson (1850) dan Hole (1888). Komuniti Orang Asli merupakan sebuah masyarakat minoriti peribumi yang tinggal di Semenanjung Malaysia. Majoriti daripada mereka tinggal di kawasan hutan dan masih mengamalkan cara hidup tradisional yang banyak dipengaruhi oleh alam sekitar dan amalan lama tinggalan nenek moyang mereka. Takrifan Orang Asli dalam Perlembagaan Malaysia telah termaktub dalam Perkara 160(2) yang menyatakan bahawa Orang Asli adalah merujuk kepada Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu. Di perkampungan Orang Asli ini juga disediakan kemudahan asas elektrik dengan mengunakan generator sekolah. Untuk mengunjungi ke Pos Tenau ini terlebih dahulu perlu melalui Pos Bersih dan jarak dari Pos Bersih ke Pos ini lebih kurang 25 km dengan melalui jalan balak sementara dari Pos Bersih ke pekan berhampiran Ulu Slim lebih kurang 15 km dan ke Slim River 20km.

     Di sini saya ingin menceritakan tentang beberapa pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk orang asli di Pos Tenau. Pekerjaan merupakan sesuatu yang dibuat untuk mendapatkan wang dengan jualan atau perkhidmatan. Terdapat beberapa jenis pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk di Pos Tenau sama ada berkerja sendiri mahupun kerajaan. Berdasarkan apa yang dikaji saya melihat kebanyakan mereka bekerja adalah berasaskan alam sekitar mereka. Antaranya pertanian sara diri iaitu mereka mengusahakan pertanian kecil-kecilan di sekeliling rumah. Tanaman yang diusahakan adalah ubi kayu, kacang panjang, timun, pokok betik dan sebagainya. Seterusnya memburu binatang dimana aktiviti memburu dijalankan oleh kaum lelaki menggunakan alatan seperti sumpitan dari buluh dan turut menggunakan jerat. Haiwan buruan mereka adalah seperti tupai, monyet, kera, biawak, pelanduk, khindzir hutan dan sebagainya. Mereka juga memungut hasil hutan seperti rotan, buluh, kayu cendana, damar dan akar-akar kayu sebagai sumber ubat-ubatan dan menggunakan kayu sebagai pekerjaan membina rumah ataupun infrastruktur yang perlu dilakukan. Mereka juga menjalankan pekerjaan memungut petai dan menjual petai sebagai sumber pendapatan. Pekerjaan paling utama mereka adalah sebagai penoreh getah kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai penoreh getah mahupun golongan lelaki ataupun perempuan. Mereka juga menternak ayam dan paling utama adalah kambing. Kemudian pekerjaan sebagai penangkap ikan dan ia dilakukan di sungai-sungai sekitar kampung Pos Tenau. Di samping itu juga ada diantara mereka bekerja sebagai penjual besi buruk dimana ia mengutip besi buruk yang ada di sekitar kampung kemudian menjualnya di pekan. Akhir sekali menurut sumber yang diperolehi didapati pekerjaan pengawal keselamatan sekolah adalah antara yang paling kaya dalam kalangan masyarakat Pos Tenau kerana mendapat gaji tetap pada setiap bulan. Kesimpulannya masyarakat orang asli di Pos Tenau adalah kebanyakannya bekerja sendiri untuk menyara kehidupan mereka. 



Aktiviti bercucuk tanam
Pokok getah (Penoreh getah )             
 
Tempat menternak kambing
Alatan menagkap ikan
Penjual Besi Buruk
          

Pengawal keselamatan sekolah



DISEDIAKAN OLEH :
NUR FARAH SAFIYAH BINTI YUAGASERI ( D20171079602)










                 





Friday, December 14, 2018

POLA PETEMPATAN ORANG ASLI DI POS TENAU


DISEDIAKAN OLEH:
MUHAMMAD RIDZWAN BIN BAKRI
D20171078775

Petempatan merujuk kepada kediaman manusia yang terdiri daripada beberapa buah bangunan ataupun lebih daripada itu. Petempatan dapat dibahagikan kepada dua iaitu petempatan kekal dan petempatan sementara. Pola petempatan dapat dibahagikan kepada empat iaitu berselerak, berjajar, berpusat dan berkelompok. Pola berselerak merujuk kepada kawasan luar bandar. Rumah dibina berselerak tanpa susunan yang tetap serta dipengaruhi juga oleh bentuk muka bumi. Jarak antara bangunan juga adalah berjauhan antara satu sama lain. Pola berjajar merujuk kepada rumah yang dibina selari di sepanjang sungai, parit, tali air, pinggir pantai, permatang, jalan raya, landasan keretapi, di sepanjang pinggir kawasan sawah padi,tepi kawasan paya dan sepanjang lereng bukit. Pola berpusat pula terbentuk apabila rumah dan bangunan yang banyak dibina rapat-rapat. Contohnya simpang jalan yang mempunyai tempat ibadat, sekolah, kedai, pejabat pos dll. Pola berkelompok pula hampir sama dengan pola petempatan bepusat. Namun begitu, ianya mempunyai perbezaab sedikit iaitu dari segi bilangan bangunan yang tidak terlalu rapat dan banyak.



Berdasarkan kawasan kajian iaitu Pos Tenau dapat dibahagikan kepada empat kampung. Keempat-empat kampung mempunyai banyak persamaan dari segi seni bina rumah dan juga jenis petempatan. Dari segi bina rumah, hampir kesemua penduduk Pos Tenau mempunyai rumah yang diperbuat daripada simen dan rumah tersebut merupakan bantuan daripada pihak kerajaan sebelum ini.


Merujuk kepada gambar diatas, kebanyakan penduduk Pos Tenau menerima rumah bantuan dan kesan daripada rumah bantuan ini telah merubah landskap dan jenis pola petempatan dikawasan Pos Tenau.


Kampung 1.


Kampung 2.

 Kampung 3 

Kampung 4

Berdasarkan daripada keempat-empat kampung diatas, jenis pola petempatan adalah pola sejajar. Setiap rumah yang dibina dikawasan Pos Tenau berhampiran dengan kawasan jalan raya dan ianya juga selari. Ianya juga dikenali sebagai pola petempatan linear.




TAJUK: SUMBER PENDAPATAN PENDUDUK ORANG ASLI POS TENAU                                     

Berikut saya kongsikan pengalaman saya berkunjung ke Kampung Orang Asli suku kaum Semai yang terletak di Pos Tenau Ulu Slim Perak. Sebelum saya menyentuh lebih lanjut tentang sumber pendapatan penduduk orang asli Pos Tenau, mari kita kenali dahulu siapakah orang asli?

            Mengikut tafsiran Akta 3 (1) mengenai masyarakat Orang Asli yang dinyatakan dalam undang-undang Negara Malaysia: Mana-mana orang yang bapanya adalah seorang dari rumpun bangsa Orang Asli yang bercakap dalam bahasa Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan Adat dan kepercayaan Orang Asli dan termasuklah seorang keturunan melalui lelaki itu; Mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa masih kanak-kanak oleh orang dan yang telah dididik sebagai seorang Orang Asli, lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat dan kepercayaan Orang Asli dan adalah seorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli; atau Anak dari apa-apa persatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan seorang lelaki dari satu kaum lain dengan syarat bahawa anak itu lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli, cara hidup Orang Asli, adat dan kepercayaan Orang Asli dan masih lagi menjadi seorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli. Dari sudut pandangan umum pula, Orang Asli juga dikenal pasti sebagai masyarakat Aslian.

            Tujuan utama ekspedisi dan kajian lapangan ini ialah untuk mejalankan aktiviti sosial dari segi bantuan keperluan asas, pakaian dan makanan di samping memberi motivasi kepada kanak-kanak di Pos Tenau. Berbalik kepada punca sumber pendapatan Penduduk Orang Asli Pos Tenau, dapat disimpulkan bahawa punca sumber pendapatan penduduk dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertanian dan penternakan.
             Aktiviti pertanian dapat dilihat sepanjang jalan di Pos Tenau. Terdapat beberapa kawasan ladang pokok getah yang berskala kecil mahupun berskala besar. Selain itu, terdapat banyak juga pokok buah-buahan tempatan yang ditanam seperti pokok durian, pokok pisang, pokok rambutan dan pokok buah-buahan lain lagi. Pokok buah-buahan ini biasanya ditanam di kawasan lapang berhampiran dengan rumah penduduk dan ada juga yang menanamnya di kawasan kebun masing-masing. Setiap ruang berdekatan rumah penduduk digunakan sebaiknya dengan menanam pokok buah-buahan seperti pokok pisang dan rambutan. Keadaan tanih yang subur juga menjadi faktor terhadap aktiviti pertanian di kawasan Pos Tenau kerana tempat perkampungannya terletak di lembah gunung di samping keadaan cuaca yang sejuk dan segar. Selain itu, majoriti penduduk menanam pokok ubi kayu dengan skala yang lebih besar. Ini kerana ubi kayu merupakan makanan ruji bagi penduduk Pos Tenau.

            Seterusnya, Aktiviti penternakan juga kelihatan aktif di setiap kawsan perkampungan penduduk. Penternakan dilakukan dalam skala kecil di kawasan kediaman penduduk. Binatang ternak yang terdapat di Pos Tenau ialah kambing, ayam dan itik. Harga jualan binatang ternak ini juga lebih murah dibandingkan dengan kawasan lain. Penduduk biasanya membina reban ayam, itik dan kandang kambing dengan saiz kecil sahaja. Namun binatang tersebut diternak secara liar dan bebas. Anda akan dapat melihat pelbagai binatang ternak yang berkeliaran sepanjang jalan di kawasan perkampungan Pos Tenau.

            Keadaan nyaman dan tenang di kawasan Pos Tenau memberi kesegaran kepada setiap orang yang mengunjunginya. Tanih yang subur serta keadaan cuaca yang sangat baik membantu penghasilan pertanian penduduk yang lebih bermutu.


Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris di Pos Tenau






Aktiviti pertanian Penduduk Pos Tenau

  
Aktiviti penternakan Penduduk Pos Tenau

Pemandangan kawasan Pos Tenau


Disediakan oleh:

NAMA:                       MOHAMAD HAFEZ BIN HAMZAH
NO. MATRIK:           D20162076381
KURSUS:                   HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK


WAN NOR HAIZA BT WAN OTHMAN
D20161073434
HGM3033 GEOGRAFI PENDUDUK


KEMUDAHAN YANG DIPERLUKAN DAN DIIDAMKAN OLEH MASYARAKAT POS TENAU


Pos Tenau ialah sebuah perkampungan orang Asli yang berada di Ulu Slim River, Perak. Orang Asli di sini menganuti agama Kristian dan merupakan suku kaum Semai. Pos Tenau berada di hujung kampung. Kawasan ini berada di pedalaman dan hanya menggunakan jenerator sebagai sumber elektirk pada waktu malam yang amat terhad sehingga pukul 10 malam. Pada waktu siang, mereka tidak menggunakan elektrik. Oleh yang demikian hidup mereka tiada kemudahan yang mencukupi seperti penduduk di kampung yang lain. Hidup mereka serba kekurangan malah sumbangan yang diberi tidak dapat menampung keperluan harian. Walaupun sebegitu, keindahan alam yang berada di kampung ini tiada di tempat yang lain. Udara yang nyaman dan suasana yang tenteram menenangkan sesiapa jua ke sini.
Keindahan Pos Tenau yang dapat diluahkan hanya dalam satu gambar

Masyarakat Orang Asli Pos Tenau mendapat pelbagai sumbangan daripada badan kebajikan dan sumbangan ikhlas daripada orang ramai iaitu dengan memberi makanan seperti beras, tepung, susu, gula dan sebagainya. Mereka amat gembira mendapat pemberian sebegitu tetapi mereka akan lebih gembira sekiranya memiliki Pusat Kesihatan Pos Tenau yang khas bagi penduduk orang Asli di Pos Tenau. Pembinaan pusat kesihatan yang dapat beroperasi pada siang hari mengurangkan masalah kesihatan yang dihadapi oleh mereka seperti penyakit kulit iaitu kudis.
Pemeriksaan Kesihatan di Pos Tenau hanya beroperasi pada hari Isnin pada setiap minggu iaitu pada pukul 10.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Pemeriksaan amat terhad dan menyebabkan mereka tidak dapat kemudahan perubatan yang diperlukan dengan berterusan untuk memeriksa secara berkala terhadap penyakit yang dijangkiti seperti kudis.

Di samping itu, masyarakat Pos Tenau mengidamkan tenaga elektrik yang berpanjangan. Bekalan elektrik yang dapat digunakan pada setiap masa. Kemudahan tiang elektrik tidak dibina maka elektrik tidak dapat disalurkan ke kampung Pos Tenau. Kemudahan elektrik amat diperlukan oleh mereka supaya boleh bersosial dan mendapat berita atau perkembangan mengenai isu semasa yang berlaku di sekitar.
Sekolah Kebangsaan Pos Tenau, Slim River, Perak menggunakan tenaga solar sebagai sumber elektrik. Cuaca yang panas pada siang hari membekalkan tenaga solar yang mencukupi kepada sekolah. Oleh itu, kemudahan tenaga solar amat membantu sekolah dalam mengendalikan aktiviti persekolahan.

Selain itu, masyarakat Pos Tenau juga amat memerlukan kemudahan tandas yang baik. Keadaan rumah mereka yang tidak begitu lengkap menyebabkan tandas juga tidak dibina dengan baik. Paip yang tidak mengikut perspek yang betul menyebabkan kesukaran bagi masyarakat Pos Tenau untuk membersihkan diri dengan baik. Keadaan ini amat menyulitkan mereka. Ketiadaan mangkuk tandas dan dinding yang tidak kukuh membuatkan mereka merungut dan menginginkan keadaan tandas yang lebih selesa. 
Tandas yang tidak selesa kepada masyarakat Pos Tenau. Tiada tadahan air untuk memudahkan mereka membersihkan diri. Keadaan dinding yang tidak kukuh dan berlubang tidak menjamin keselesaan mereka.

Setelah itu, mereka amat mengidamkan pencawang komunikasi bagi tujuan memudahkan proses komunikasi. Mereka tiada televisyen apatah lagi telefon bimbit. Ketiadaan pencawang komunikasi menyebabkan mereka tidak dapat memiliki barangan elektrik. Mereka hidup dengan hanya mengetahui sesuatu berita atau isu daripada Tok Batin atau masyarakat melalui hebohan sahaja. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak dihebohkan, maka mereka tidak mengetahui berita tersebut. Keadaan kampung yang berada di pedalaman menyukarkan pembinaan pencawang.
Mereka amat menginginkan pencawang komunikasi agar mudah untuk mereka berinteraksi bersama masyarakat lain di samping mendapat maklumat dengan lebih mudah dan pantas.
Kesimpulanya, masyarakat Pos Tenau amat berharap agar segala kemudahan seperti pusat kesihatan, bekalan elektrik, tandas yang lengkap dan pencawang komunikasi dapat dibina supaya kehidupan mereka akan lebih baik seperti masyarakat yang lain. Segala perkongsian mereka amatlah berharap kampung mereka akan lebih selesa pada masa akan datang.

Suasana yang dipenuhi dengan kegembiraan dengan cara mereka tersendiri walaupun serba kekurangan tetapi bukan penghalang mereka untuk meneruskan kehidupan dengan bahagia.


Kegembiraan anak-anak Pos Tenau inilah yang menyedarkan kami bahawa setiap anugerah yang diberi oleh Tuhan perlulah sentiasa disyukuri agar kehidupan lebih ceria dan tiada lelah dalam menempuhi dugaan.


Terima Kasih Pos Tenau. Kenangan akan kekal diingatan kami.