Monday, July 4, 2022

MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA

 Rencana untuk mengajar anak anak orang asli tentang lebih kecil ini sudah dua tahun tergendala. Bajet yang diberikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) pada tahun 2020 terpaksa dibiarkan begitu sahaja. Serangan ganas Covid19 menyebabkan kerajaan menguatkuasakan sekatan perjalanan. Tambahan pula, SK Pos Tenau ini yang terletak agak jauh di kawasan pedalaman, menimbulkan kesukaran kepada semua pihak apabila wabak merebak.

Tahun 2022, kami sekali lagi memohon peruntukan untuk melaksanakan aktiviti yang sama. Ketika kami menghubungi pihak sekolah, rupa rupanya guru besar En Ahmad Yazid telah berpindah. Cikgu Rozaidi, yang menjadi pemudahcara juga telah bertukar ke daerah lain. En Ahmad Yazid memberikan nombor telefon guru besar baharu untuk memudahkan usaha kami. Penghujung 23 Februari kami masuk ke SK Tenau dan berbincang dengan Cikgu Kharol Hafizan tentang projek yang akan kami laksanakan. Alhamdulillah, kami disambut mesra dan mereka berbesar hati menerima kunjungan kami semua.




Wednesday, December 19, 2018

MAKANAN TRADISI ORANG ASLI DI POS TENAU


Makanan tradisi orang asli di Pos Tenau

Pada 17 dan 18 November 2018, pengkaji telah menjalankan satu kajian lapangan di Pos Tenau, Ulu Slim, Slim River, Perak. Kajian ini adalah bagi memenuhi kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Pos tenau adalah sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Ulu Slim River. Perjalanan dari Tanjung Malim ke Pos Tenau kira-kira 2 jam. Pos Tenau merupakan kampung yang terakhir dan berdekatan dengan banjaran Titiwangsa. Suhu di kampung ini mencecah 19°C terutama pada waktu pagi. Di perkampungan ini, kediaman mereka telah pun ditambah baik. Rumah daripada nipah telah digantikan dengan rumah batu. Walau bagaimanapun, masih ada beberapa rumah yang masih mengekalkan keaslian pembinaannya.
Suasana di kampung ini adalah sangat selesa. Perkampungan ini tidak mempunyai rangkaian perhubungan. Oleh hal yang demikian, penduduk di kampung ini hidup tenang tanpa gangguan media sosial. Hal ini menyebabkan, hubungan antara setiap pelajar menjadi lebih erat. Di perkampungan ini, hanya kawasan sekolah sahaja yang mempunyai rangkaian perhubungan. Hal ini bagi memudahkan guru menjalankan urusan sekolah. walau bagaimanapun, terdapat kata laluan yang perlu dimasukkan untuk mendapatkan rangkaian perhubungan. Dikatakan sistem rangkaian menjadi lebih lancar apabila tiba waktu malam. 



Gambar 1: Perkampungan Pos Tenau


           Gambar 2: Sesetengah rumah yang masih mengekalkan bentuk rumah lama

Kajian yang dijalankan adalah berkaitan makanan tradisi orang asli di Pos Tenau. Hasil pemerhatian dan temu ramah mendapati kebanyakan penduduk orang asli ini makan makanan hasil hutan. Ulam-ulaman dan buruan hutan merupakan makanan utama mereka. Daripada temu ramah yang dijalankan, makanan seperti pucuk ubi kayu, pucuk paku, pucuk betik dan pelbagai ulaman lagi menjadi makanan harian mereka. Lauk seperti ikan sering menjadi hidangan. Makanan yang dimakan oleh orang asli kebanyakannya hasil daripada tanaman sendiri, tangkapan dan buruan. Kedai runcit juga sukar untuk dicari.

Kawasan persekitaran di perkampungan Pos Tenau yang dikelilingi hutan memudahkan penduduk untuk mencari makanan. Mereka juga turut menanam ubi kayu di tepi rumah. Sumber makanan penduduk orang asli adalah daripada persekitarannya sahaja. Penduduk di perkampungan orang asli turut makan nasi. Walau bagaimanapun, ia bukanlah dalam skala yang kerap. Hal ini demikian kerana, beras sukar untuk dicari dan harganya masih belum dimiliki oleh sesetengah penduduk.


Gambar 2: Pucuk ubi kayu yang menjadi makanan harian orang asli



       Gambar 3: Ubi kayu merupakan sumber makanan orang asli




 Gambar 4: Bergambar bersama penduduk orang asli



Gambar 5: Kenangan menjalankan kajian di Pos Tenau


Disediakan oleh:
Nor Azriah Binti Ibrahim

Tuesday, December 18, 2018

SUASANA DAN PERSEKITARAN DI KAMPUNG POS TENAU

NAMA: MUHAMMAD RIDUAN BIN ZAMBRI 

NO.MATRIK: D20171078727 

Pada tanggal 17 hingga 18 November 2018, pengakji telah menjalankan satu kajian lapangan di Pos Tenau, Slim River, Perak di bawah kursus HGM3033 Geografi Penduduk. Kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan demografi dan sosioekonomi masyarakat orang asli di Pos Tenau. 


Perkampungan Pos Tenau ini merupakan satu kawasan perkampungan yang berada di lembah dan dikeliling oleh bukit-bukau dan gunung-ganang banjaran titiwangsa. Suasana yang tenang tanpa sebarang gangguan dan tiada rangkaian perhubungan untuk komunikasi dengan pihak lain. Selain itu, suhu di kawasan perkampungan ini yang sejuk iaitu kira-kira 19 oC sangat memberi keselesaan dan ketenangan kepada hidupan sekelilingnya. Pada peringkat awalnya, terdapat 4 buah kampung iaitu Kampung Pangkak, Kampung Telun, Kampung Sempuh dan Kampung Tising. Empat buah kampung tersebut digabungkan menjadi satu nama iaitu dikenali Kampung Tenau.



Terdapat sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pos Tenau yang diketuai oleh guru besar yang bernama En Abu Yazid, beliau baru berkhidmat selama 3 bulan di sekolah tersebut. SK Pos Tenau mempunyai seramai 39 orang murid. Kakitangan sekolah terdiri daripada golongan lelaki iaitu seramai 11 orang (10 orang guru dan seorang pembantu tadbir sekolah). Para pelajar dikategorikan sebagai pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran iaitu sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK). Mereka juga kurang menguasai bahasa Melayu dengan fasih kerana sangat terpengaruh dengan Bahasa Semai. Kebanyakkan pelajar lemah dalam menguasai komponen 3M (membaca, menulis dan mengira). 

Seperti yang kita ketahui, kurangnya pengetahuan dalam kalangan masyarakat kita mengenai istilah apa itu sebenarnya Orang Asli. Masyarakat kita mengandaikan bahawa mereka hanyalah satu kumpulan orang asli yang tinggal di kawasan pedalaman hutan yang jauh. Sebaliknya, mereka sama seperti orang Melayu dan banyak sub-etnis (Jawa, Bugis, dan sebagainya), terdapat 3 kumpulan utama Orang Asli iaitu Proto-Melayu, Senoi dan Semang. Setiap satunya mempunyai sub-etnik sendiri. Orang Semai yang tinggal di Ulu Slim tergolong dalam kumpulan etnik Senoi. Jumlah penduduk Kampung Pos Tenau lebih kurang seramai 500 hingga 600 orang dan purata pendapatan sebanyak RM250 sebulan. Aktiviti ekonomi utama penduduk kampung ialah aktiviti menoreh getah, menternak kambing dan berkebun sediri. 



Rumah-rumah bata ini telah siap dibina pada tahun 2009. Kemudahan rumah ini disediakan untuk menjamin keselesaan penduduk kampung daripada hujan dan ribut yang sering melanda di kawasan ini. Beberapa kumpulan pengkaji yang lain membuat tinjauan lapangan di kawasan petempatan penduduk orang kampung.


Walaupun majoriti penduduk kampung diberi rumah yang lebih selesa untuk tinggal, namun masih ada lagi penduduk kampung yang masih tinggal di dalam rumah asal mereka. Keadaan rumah tersebut kelihatan sangat usang dan lama untuk didiami. Pemilik rumah mengatakan bahawa mereka lebih selesa duduk di rumah tersebut. Hal ini kerana, mereka ingin mengekalkan cara tradisi nenek moyang mereka yang terdahulu untuk dijadikan teladan kepada generasi baru mereka.



Semasa pengkaji membuat tinjauan, pengkaji bertemu dengan seorang penduduk yang berumur 48 tahun, yang sedang membaiki atap di kandang kambingnya yang telah rosak akibat hujan lebat dan ribut, kelmarin. Atap-atap diterbangkan oleh angin yang kencang dan telah merosakkan kandang kambingnya. Seorang pakcik yang bernama Wan yang baru sahaja selesai memotong kayu dan papan untuk dijadikan sebagai sumber kayu bagi membuat rumah kayu. Pak Wan masih lagi menggunakan kaedah lama dengan bantuan alat mesin memotong kayu. Kayu balak yang diambil ialah jenis kayu jati dan cenggal. 




Terdapat pelbagai kemudahan awam yang telah disediakan kepada penduduk kampung melalui peranan Tok Batin di kampung tersebut. Antaranya adalah kemudahan jalan raya, lampu jalan, jambatan, rumah, tenaga solar dan sekolah. Kemudahan ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti harian mereka dan memudahkan jaringan pengangkutan untuk bergerak. 



Di kampung tersebut mempunyai sebuah sungai yang indah dan bersih. Sungai ini merupakan sumber air kepada penduduk kampung untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti mandi, mencuci pakaian, memasak dan lain-lain. Kualiti airnya yang bersih dan jernih mengurangkan masalah penyakit bawaan air. Banyak batu-batu sungai yang menghalang arus air supaya ia selamat untuk mandi.



Seorang kanak-kanak kecil yang bermain di halaman rumah dan seorang kanak-kanak lelaki sedang mandi di belakang rumah mereka. Sumber air mandi daripada paip air yang bocor dan perigi yang masih berfungsi.




Pengkaji menemu ramah bersama dengan dua orang pemuda penduduk kampung yang baru pulang dari bekerja dan seorang pengelola kampung yang dikenali sebagai gelaran nama ‘Yok’. Pergaulan dengan penduduk kampung agak mudah dan senang bercampur dengan mereka kerana mereka mudah untuk beramah mesra jika betul dengan caranya.



Pengkaji meluangkan masa bersama kanak-kanak di kampung tersebut bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Kanak-kanak tersebut berusia 12 tahun dan nama panggilannya Irwan. Kami saling mengenali antara satu sama lain melalui program yang kami anjurkan di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau kelmarin. 



Sesi fotografi kumpulan pengkaji bersama guru besar SK Pos Tenau untuk gambar kenangan dan pemberian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada pihak pengkaji kepada pihak SK Pos Tenau. Pengkaji berharap akan dapat peluang untuk menjalankan kajian atau tinjauan di Kampung Pos Tenau pada masa akan datang. 

SEKOLAH SUMBER ILMU


SEKOLAH SUMBER ILMU
SEKOLAH KEBANGSAAN POS TENAU ULU SLIM
Disediakan oleh : Sitti Norpiyah Binti Bulaya @ Hj Bulaya
No Matrik : D20161074273
Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim ini ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada tahun 1997. Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim adalah merupakan sebuah sekolah kebangsaan harian yang hanya mempunyai satu sesi atau sidang persekolahan iaitu sidang pagi. Pada awal penubuhan terdapat bangunan lama yang terdiri dari sebuah bangunan bilik darjah dan sebuah kantin. Bangunan lama ini merupakan bangunan kayu. Bangunan baru hanya siap dan mula digunakan pada tahun 2004 merupakan bangunan yang dibina sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bangunan baru ini terdiri daripada 4 buah bangunan bilik darjah dan sebuah kantin.
Lokasi Geografi sekolah ini terletak di kawasan Pedalaman Ulu Slim. Jarak dari Ulu Slim 28km, dari Slim River 50km. Jika dahulunya jalan perhubungan dari tempat ini ke Ulu Slim adalah jalan balak yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan 4x4 dan motorsikal, kini sekolah ini boleh diakses dengan mudah dengan menggunakan jalan raya yang bertar. Dahulunya kesukaran perjalanan lebih dirasai pada waktu musim hujan, dimana keadaan jalan berlumpur serta licin. Terdapat empat perkampungan Orang Asli di sekitar sekolah, iaitu Kampung Pangkak, Kampung Tenau, Kampung Kehem dan Kampung Sempuh. Penduduk di kawasan ini berjumlah kira-kira 50 keluarga dan bekerja sebagai petani dan pencari hasil hutan. Pendapatan penduduk di sini adalah amat rendah. Purata pendapatan mereka kurang dari RM 500 sebulan. Penduduk di perkampongan ini terdiri dari kaum Semai.
Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim menempatkan seramai 12 orang guru termasuk kakitangan sokongan. terdapat 10 orang guru yang bertugas di sekolah ini dan yang menariknya semua guru yang bertugas adalah guru lelaki. Dalam kalangan mereka ada yang sudah hampir berpuluh tahun mengajar di sekolah ini dan kesemua mereka mempunyai pengalaman yang mengajar yang berbeza. Setiap guru dan kakitangan sokongan di sekolah ini mempunyai tugas dan bidang kuasa masing – masing. Dari aspek bilangan pelajar sekolah pula, Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim mempunyai bilangan pelajar seramai 39 orang. Pelajar tahun enam seramai 12 orang, tahun lima seramai 10 orang, tahun empat seramai 3 orang,  tahun tiga dan tahun dua masing-masing seramai 5 orang dan tahun satu seramai 4 orang. Keunikan sekolah ini dapat dilihat apabila setiap kelas dinamakan menggunakan nama sesebuah kereta. Sebagai contoh, Iswara, Saga, Satria, Inspira, Wira dan Perdana.
  
PENGURUSAN PEMBELAJARAN SEKOLAH
Strategi mengurus bilik pembelajaran merupakan satu elemen yang penting dalam pengurusan sekolah dan perkembangan akademik pelajar. Perkara ini juga berkait rapat dengan jenis-jenis bilik darjah dan bilik pembelajaran khas yang berasaskan tradisional ataupun abad ke 21. Hal ini kerana kesan yang baik akan dapat dicapai dari segi kualiti aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang baik dan secara lansung mampu meningkatkan prestasi pelajar dalam akademik. Perkara ini melibatkan semua jenis bilik pembelajaran seperti bilik darjah, makmal, studio dan lain-lain. Sehubungan dengan perkara ini, unsur fizikal juga memberi peranan yang penting untuk mencapai keberkesanan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.
Sebagai contoh, penyusunan meja dan kerusi, ruang dan saiz bilik darjah dan pembelajaran, kebersihan, keceriaan, kekemasan, kemudahan sudut-sudut maklumat yang kreatif. Proses pembelajaran yang bermakna perlu memberi iklim bilik darjah dan pembelajaran yang selesa, kemudahan yang sesuai serta keadaan kelas yang kondusif dan berjaya menarik perhatian pelajar. Dengan adanya strategi mengurus bilik pembelajaran ini, guru mampu mengenal pasti halangan dan masalah yang dihadapi sewaktu kelas berjalan.
Persekitaran pembelajaran adalah tempat bagi pelajar untuk memperoleh pengetahuan dan telah dikenalpasti sebagai faktor kritikal dalam pencapaian pelajar. Persekitaran bilik pembelajaran yang sesuai akan wujud melalui pengamalan ciri-ciri bilik pembelajaran serta bilik darjah yang berteraskan abad ke 21 iaitu seperti susunan meja dan kerusi yang berkelompok atau dikenali sebagai berpusatkan pelajar serta akan wujud komunikasi dua hala antara guru dan pelajar. Selain itu, kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh pihak sekolah seperti LCD projektor, papan putih interaktif, sudut maklumat ataupun parking lot serta. Banyak kebaikan yang akan diperolehi oleh pelajar iaitu pelajar akan berasa selesa ketika belajar dan guru mudah untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Strategi mengurus bilik pembelajaran dilaksanakan dalam sekolah dan ternyata Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim juga telah mampu mewujudkan bilik-bilik pembelajaran yang kondusif walaupun sekolah ini hanya mempunyai pelajar seramai 39 orang pelajar sahaja. Perkara ini tidak menjadi halangan kepada guru-guru di sekolah tersebut untuk lebih berusaha untuk merancang dengan rapi akan strategi mengurus bilik pembelajaran. Harapan agar sekolah-sekolah di seluruh Malaysia juga mampu mewujudkan bilik-bilik pembelajaran yang berteraskan abad ke 21 dan dengan usaha sebegini guru-guru di Malaysia mampu memantapkan lagi strategi mereka untuk mengurus bilik-bilik pembelajaran yang ada di dalam sekolah. Sekolah Kebangsaan Pos Tenau Ulu Slim terdiri daripada beberapa buah blok yang dibekalkan dengan prasarana yang lengkap bagi memenuhi keperluan dan kehendak pendidikan semasa. Kemudahan infrastuktur yang ada di sekolah ini adalah seperti bilik pentadbiran, bilik guru, bilik darjah, pusat sumber, makmal computer, bengkel KH, bilik muzik, bilik sains, dewan sekolah, bilik SPBT dan kantin sekolah.
            
KEMUDAHAN INFRASTUKTUR SEKOLAH


Bilik Sains

Bilik Komputer

Pusat Sumber Sekolah

Bilik Darjah 6

Bengkel Kemahiran Hidup Dan Bilik Muzik

Bilik Interaktif MySTEM

Bangunan Pentadbiran

Bilik Ruang Makanan JAKOA



PENGARUH PERSEKITARAN DAN IKLIM SEKOLAH SK POS TENAU
Budaya kerja di kalangan guru dan kakitangan sekolah juga unik. Ini kerana kebanyakkan guru datang awal ke sekolah dan pulang lewat bagi memastikan semua pengurusan dan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan baik. Guru-guru di sekolah juga turut membantu kakitangan sokongan bagi menceriakan kawasan sekolah. Amalan kerjasama ini mewujudkan hubungan yang erat antara mereka.  Iklim Sekolah ialah sifat dan suasana yang ada di sekolah yang membezakannya dengan sekolah lain. Sifat dan suasana yang ada di sekolah adalah hasil interaksi antara guru dan pelajar serta masyarakat yang terdapat di dalam sekolah tersebut secara keseluruhannya. Iklim Sekolah sangat mempengaruhi perkembangan pelajar, terutamanya melalui pengenalan konsep kendiri, keberkesanan keupayaan bekerja dan kemampuan membina hubungan yang baik dengan orang lain.
Pengaruh sekolah memainkan peranan utama selepas keluarga dalam pembentukkan personaliti pelajar.  Pengarah sentiasa memberi sokongan kepada guru terhadap amalan pengajaran mereka dan menggalakkan mereka menggunakan inovasi dalam kerja seharian mereka. Pelajar dan guru disekolah merasa sangat selesa ketika berada di perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaaan bersih dan teratur. Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran sekolah yang ceria dan bersih memberi keselesaan dan mengambarkan kecintaan serta kerjasama yang tinggi di kalangan warga sekolah. Keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah adalah penting bagi meningkatkan mutu pendidikan kerana mempunyai iklim sekolah yang ceria, tenang dan selesa ke arah tercapainya visi dan misi sekolah serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Suasana dan persekitaran sekolah yang bersih, ceria, tenteram amat perlu bagi meningkatkan keselesaan pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang dari segiemosi, rohani, jasmani dan intelek. Program keceriaan sekolah mempunyai matlamat untuk mewujudkan sebuah sekolah yang mempunyai persekitaran yang bersih, ceria, cantik, dan mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk pelajar iaitu selaras dengan visi kebanyakan sekolah iaitu bagi mencapai kegemilangan akademik, kokurikulum dan sahsiah warganya yang berteraskan ilmu, iman dan aman.




(Pengaruh Persekitaran Dan Iklim Sekolah Sk Pos Tenau)

Monday, December 17, 2018

‘Pos Tenau’ Suatu Tempat Yang Menarik

Disediakan oleh: VELAZMI BINTI MAKIL
No. Matrik: D20161074348


Rajah 1:Kampung Pos Tenau 

          Pos Tenau merupakan sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Ulu Slim, Perak yang terdiri daripada suku Semai dan majoritinya beragama Kristian dengan jumlah penduduk seramai 600 orang. Pos Tenau merupakan salah sebuah penempatan orang asli yang masih belum mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap. Perkampungan ini belum mempunyai bekalan elektrik. Namun begitu, untuk keluarga yang berkemampuan, bekalan elektrik mereka diperoleh melalui generator. Bekalan air yang diperoleh pula hanya bergantung kepada air gravity (air dari atas bukit) untuk kegunaan seharian mereka. Walaupun masih banyak kekurangan di kampung tersebut, saya percaya bahawa suatu hari nanti, perkampungan ini akan berkembang kerana perkampungan Pos Tenau berada di bawah kelolaan JAKOA. Hal ini demikian kerana, menurut pemerhatian dan informasi tentang kampung ini, JAKOA sangat prihatin dengan masyarakat orang asli di sini. Buktinya, terdapat banyak rumah PPRT yang merupakan salah satu bentuk bantuan daripada JAKOA. Jalan ke Pos Tenau juga saya difahamkan sudah dinaik taraf pada tahun ini dimana jalan tersebut sudah bertar. 




Rajah 2: Tanaman getah 

         Penduduk kampung di Pos Tenau mempunyai gaya hidup yang sederhana. Mereka melakukan aktiviti pertanian untuk menyara hidup mereka seperti menanam ubi kayu, jagung dan ubi manis. Ladang-ladang yang dibuka ini berada jauh dari rumah mereka. Perjalanan ke ladang boleh mengambil masa sehingga 1 jam. Menurut penduduk kampung juga, mereka akan ke ladang seawal jam 8 pagi dan pulang ke rumah pada waktu petang sekitar jam 5 petang. Selain daripada membuka ladang, mereka juga melakukan aktiviti menoreh getah sebagai sumber pendapatan mereka. Selain daripada aktiviti pertanian, mereka juga menternak binatang seperti kambing dan ayam. Binatang ternakan ini merupakan salah satu sumber protein mereka. 




Rajah 3: Ternakan kambing dan ayam 

          Dari aspek sosial, penduduk kampung di Pos Tenau menerima kunjungan kami dengan baik walaupun mereka sedikit pemalu namun kami masih dapat berkomunikasi dengan penduduk kampung tersebut. Selama dua hari berada di Pos Tenau, saya melihat aktiviti sosial penduduk kampung tersebut sesama jiran mereka sangat baik. Adakalanya anak-anak muda perempuan saling memeriksa atau menyikat rambut sesama sendiri. Saya berpendapat bahawa tindakan mereka ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim mereka. Bagi anak-anak muda kususnya yang lelaki, mereka juga melakukan aktiviti kesukanan seperti bermain takraw pada waktu petang. Walaupun mereka tidak mempunyai gelanggang khas untuk takraw, mereka telah membuat gelanggang sendiri iaitu di tengah-tengah kawasan perumahan mereka. Kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi juga menjadikan cara bersosial di kawasan tersebut bergantung kepada aktiviti harian mereka seperti mencuci kain dan pinggan di tadahan air yang disediakan. Oleh itu, dalam keadaan ini, kekurangan kemudahan infrastruktur secara tidak langsung mengeratkan silaturahim sesama mereka kerana kerap berjumpa. 


Rajah 4: Riadah di waktu petang 




Rajah 5: Mencuci pinggan dan kain menggunakan air graviti 




Rajah 6: Gelanggang Takraw 


          Pos Tenau merupakan sebuah perkampungan orang asli yang unik. Sesiapa yang berkelapangan bolehlah berkunjung ke Pos Tenau untuk merasai sendiri bagaimana kehidupan luar bandar tanpa media sosial seperti whatsapp, facebook, instagram dan sebagainya. Namun begitu, kehidupan tanpa media sosial inilah yang mengajar kita menghargai masa, mementingkan komunikasi dengan orang sekeliling dan merasa ketenangan. Saya telah merasai sendiri pengalaman ini dan ianya sangat berbaloi. Selain daripada gunung ganang yang menenangkan fikiran, Pos Tenau juga mempunyai banyak sungai yang cantik yangs sesuai dijadikan kawasan bermandi manda. Jangan buang masa lagi, silalah ke Pos Tenau jika berkelapangan.




BUDAYA MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU

Disediakan oleh: Muhammad Faris bin Mat Ghazali
No. Matrik: D20162076170

BUDAYA MASYARAKAT ORANG ASLI DI POS TENAU
Kampung Orang Asli Pos Tenau adalah sebuah perkampungan orang asli yang terletak di Slim River, negeri Perak. Kampung ini berhampiran dengan beberapa perkampungan kecil orang asli yang lain seperti Kampung Gesau, Kampung Bangkong, Kampung Tibang dan Kampung Kedeng. Masyarakat orang asli disini dari keturunan Semai. Anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pos Tenau. Pekerjaan utama penduduk di sini adalah mencari hasil hutan dan pertanian.
Budaya masyarakat orang asli di Pos Tenau boleh dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu :
·         Perkahwinan
·         Perayaan
·         Kematian

Perkahwinan
Masyarakat orang Asli di Pos Tenau adalah berasal dari suku semai. Hasil daripada temu ramah bersama Tok Batin, beliau telah menceritakan  serba sedikit berkaitan dengan adat perkahwinan masyarakat asli di kawasan tersebut. Pada permulaannya, kelayakan umur minima untuk berkahwin bagi lelaki dan perempuan adalah tidak ditetapkan. Beliau memberitahu bahawa pada seawal umur 16 tahun bagi lelaki mahupun perempuan, mereka sudah boleh berkahwin. Kebiasaannya mereka akan memilih pasangannya sendiri atau pilihan keluarga. Namun begitu, disebabkan oleh dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan, kelayakan umur minima untuk berkahwin bagi lelaki adalah 21 tahun dan 18 tahun bagi perempuan.  Terdapat pelbagai proses sebelum perkahwinan berlangsung iaitu:
  1.          Adat Merisik
  2.          Adat Meminang
  3.          Tanggung Nafkah
  4.          Semasa Bertunang
  5.          Hari Berkahwin
  6.          Menyembah (Menerima Nasihat)
  7.          Upacara Penyatuan

Perayaan
Hasil daripada temu bual masyarakat orang asli di Pos Tenau, kesemua masyarakat orang Asli di sini beragama Kristian. Di setiap kampung yang terdapat di Pos Tenau ini disediakan gereja bagi penduduk di sini menjalakan aktiviti keagamaan mereka. Perayaan Christmas merupakan salah satu perayan utama masyarakat orang Asli di Pos Tenau ini. Selain itu, penduduk di sini juga mempunyai hari perayaan sendiri seperti Hari Genggulang iaitu perayaan menyambut tahun baru. Perayaan ini kebiasaannya disambut oleh Suku Kaum Semai yang tinggal di kawasan Perak Tengah, Hilir Perak dan Selatan Perak pada akhir tahun iaitu akhir bulan Disember atau di awal tahun pada bulan Januari atau Februari. Ia merupakan upacara tahunan yang paling meriah dan penuh tradisi. Mengikut kepercayaan turun-temurun Suku Kaum Semai, Hari Genggulang diadakan untuk kesejahteraan dan keselamatan kampung. Namun begitu pada masa kini upacara tersebut sudah beransur berubah mengikut peredaran masa.

Kematian
Apabila terdapat kematian di sesebuah kampung, biasanya sanak saudara jauh dan dekat akan diberitahu. Penduduk tempatan akan menziarahi dan membantu upacara pengkebumian. Ahli masyarakat akan menangguhkan semua kegiatan harian mereka kerana dikhuatiri roh simati akan marah atau menegurnya dan akibatnya orang yang terlibat akan ditimpa malang. Kebiasaannya mayat tidak kebumikan pada hari kematian dengan itu tujuan memberi peluang kepada saudara mara simati yang jauh datang memberi penghormatan terakhir.

            Sebelum upacara pengkebumian, mayat tersebut akan dimandikan dan dibungkus dengan kain baru atau kain putih dan seterusnya dibungkus dengan tikar, diikat kemas-kemas supaya senang diusung. Liang lahad digali sedalam 1 meter. Mayat dimasukkan ke dalam liang lahad. Sebelum di kambus, tiga kepal tanah bercampur arang yang telah dijampi akan diletakkan di kedua-dua belah telinga dan bahagian dada untuk memutuskan hubungan si mati dengan keluarganya. Jika tidak, keluarga yang hidup akan jatuh sakit dan boleh membawa mati. Setelah dikambus, kayu yang diukir (ala kadar) dicacak di atas kubur sebagai penanda dan diikuti dengan upacara meletakkan makanan, minuman dan rokok yang telah dinyalakan diatas kubur selama enam hari berturut-turut.

Pada hari keenam, kayu yang telah dibakar akan dialih untuk memberitahu simati bahawa dia sudah berada di alam lain. Upacara ini dilakukan dalam rumah simati. Setelah masuk hari ketujuh, keluarga serta penduduk kampung akan bergotong-royong menambak atau memadatkan tanah kubur tersebut agar tidak jerlus. Penanda sementara tadi diganti dengan batu nisan yang kekal. Sebelum meninggalkan kubur, makanan, minuman dan rokok akan dilekatkan diatas kubur berkenaan. Salah seorang ahli keluarganya akan memegang batu nisan serta memanggil nama simati seolah-olah menggerakkannya untuk menjamu makanan dan minuman, di samping berpesan bahawa perjalanannya ke alam lain adalah selamat dan memohon supaya tidak mengganggu ahli keluarga yang masih hidup.


Bersama dengan Tok Batin dan penduduk Pos Tenau



Sesi latihan antara pelajar UPSI  dengan murid – murid  Sk Pos Tenau untuk malam kebudayaan.








Bersama – sama dengan pelajar yang yang lain untuk menemu ramah penduduk Asli Pos Tenau.

STESEN SOLAR MENJADI SUMBER TENAGA UTAMA KEPADA PENDUDUK POS TENAU




Kampung Orang Asli Pos Tenau adalah sebuah perkampungan orang asli yang terletak Slim River, negeri Perak. Perkampungan ini didiami kira-kira 200 buah rumah yang merupakan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Kampung ini juga berhampiran dengan beberapa perkampungan kecil orang asli yang lain seperti Kampung Gesau, Kampung Bangkong, Kampung Tibang dan Kampung Kedeng. Masyarakat orang asli disini dari keturunan Semai. Anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih. Pekerjaan utama penduduk di sini adalah mencari hasil hutan dan pertanian.



         Perjalanan hampir dua jam meredah laluan balak dari Tanjong Malim ke perkampungan Orang Asli di Pos Tenau, Slim River, Perak baru-baru ini, amat berbaloi apabila persekitaran yang dikelilingi gugusan bukit-bukau lalu membentuk Banjaran Titiwangsa, menyediakan panorama sangat mempesona! Kemunculan matahari pagi di ufuk timur yang mula menyinari kaki Banjaran Titiwangsa memang cukup mengasyikkan. Suhu mencecah 17 darjah Celsius, suasananya berkabus dan jam di tangan menunjukkan 6.45 pagi. Nyaman dan dingin membuatkan pengalaman berada di sini seperti sedang menikmati percutian Banjaran Alps di Switzerland ketika musim bunga!



           Sebuah JanaKuasa, Sistem Solar Hibrid telah dibangunkan bersebelahan Sekolah Kebangsaan Pos Tenau, Slim River, Perak yang bertindak menyalurkan tenaga elektrik kepada rumah-rumah sekitar Pos Tenau. Sistem Solar Hibrid merupakan teknologi yang dicipta untuk mendapatkan tenaga daripada cahaya matahari. Tenaga matahari ini telah digunakan dalam banyak teknologi tradisional sejak beberapa abad yang lepas secara meluas. Antara contoh penggunaan tenaga matahari adalah pemanasan air, pemanasan banguna dan juga dalam masakan. Malah, tenaga matahari juga boleh menghasilkan tenaga elektrik melalui enjin pemanasan.





         Melalui teknologi terkini, penghasilan daripada solar panel boleh menghasilkan tenaga elektrik setiap hari. Sekarang, sudah banyak rumah di sekitar Post Tenau menggunakan dan memasang solar panel untuk menghasilkan tenaga elektrik sama ada untuk tujuan perniagaan ataupun untuk kegunaan domestik. Namun begitu, masih terdapat kelemahan penggunaan system solar hibrid iaitu Jumlah cahaya matahari yang tiba di permukaan bumi tidak tetap. Ia bergantung kepada lokasi, hari, tahun dan keadaan cuaca. Selain itu, disebabkan matahari tidak memancarkan cukup tenaga pada satu tempat dalam satu masa, satu kawasan yang luas diperlukan untuk mengumpulkan tenaga pada kadar yang mencukupi untuk menghasilkan tenaga.



         Sistem Solar Hibrid merupakan berfungsi menyalurkan tenaga elektrik ke seluruh rumah di Pos Tenau. Tenaga solar ini juga merupakan sumber tenaga kepada penduduk Pos Tenau. Dengan adanya tenaga elektrik, penduduk dapat menjalankan aktiviti domestik walaupun sumber tenaga elektrik bergantung kepada penerimaan tenaga cahaya daripada matahari. Walaupun begitu, penduduk di sana tidak pernah jemu hidup dengan serba kekurangan malah mereka bersyukur kerana masih diberikan pelbagai kemudahan bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.
Sekian, Terima Kasih


NAMA: MOHAMAD AMIRUL SYAFIQ BIN SABRI


NO.MATRIK: D20171078765
PROGRAM: ISMP GEOGRAFI
SEMESTER: 3
KURSUS: HGM 3033 GEOGRAFI PENDUDUK
NAMA PENSYARAH: DR. KAMARUL ISMAIL